SIBU – Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan dua maut dan dua cedera parah di Lampu Isyarat Paragon, Jalan Sultan Iskandar, Bintulu malam semalam, disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 11.30 malam dan pemandu tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux tersebut dipercayai telah melanggar belakang sebuah kereta jenis Proton Saga dan kemudian merempuh tiang lampu isyarat di lokasi kejadian manakala impak perlanggaran turut menyebabkan Proton Saga itu terlajak ke pembahagi jalan.
“Akibat perlanggaran itu dua penumpang lelaki dan wanita di tempat duduk belakang Proton Saga maut di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang wanita di tempat duduk depan kereta tersebut mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nixon berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau menyaksikan kejadian itu diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp Pung Ting Khang di Balai Trafik Bintulu di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu 086-318304.
Terdahulu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata dua mangsa yang maut itu dikenal pasti sebagai Yiu Siew Lee, 34, dan Janam Ampar, 44, manakala yang cedera parah ialah Wilson Tawi, 24, dan Anis Sintiabella, 19.