KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memberi bayangan akan mengemukakan rayuan ekoran kekalahannya dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 hari ini.
Menerusi catatan di laman Instagram malam ini, Nik Nazmi yang juga penyandang jawatan itu berkata, pihaknya akan membiarkan proses rayuan berjalan mengikut peraturan dan ruang yang ditetapkan oleh parti.
Menurutnya, beliau percaya bahawa proses pemilihan yang telus dan adil adalah asas kekuatan Keadilan (PKR) sebagai parti reformasi.
Namun, jelas Nik Nazmi, pihaknya percaya terdapat beberapa isu yang wajar dibangkitkan dan akan menggunakan saluran serta proses parti yang sewajarnya untuk menyuarakan perkara tersebut.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong, jentera, dan anggota parti yang telah bersama-sama turut serta,” katanya.
Pada pemilihan jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa hari ini, Nik Nazmi tewas kepada pelakon dan pengarah filem terkenal, Datuk Afdlin Shauki.
Afdlin yang mendapat sebanyak 631 undi menewaskan Nik Nazmi yang meraih 563 undi dalam persaingan satu lawan satu.
Artikel berkaitan:
Keputusan itu diumumkan menerusi laman sesawang rasmi Pemilihan PKR 2025 di https://pemilihan.keadilanrakyat.org.
Afdlin yang menyertai PKR pada 2021 pernah mencuba nasib bertanding jawatan itu pada 2022, namun tewas kepada Nik Nazmi, yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.
Sementara itu, jawatan Naib Ketua Cabang Setiawangsa dimenangi Muhammad Ibrahim Hilmy Noor Mohamed. – MalaysiaGazette