KULAI – Seorang pengarah sebuah syarikat swasta berputih mata selepas rugi sebanyak RM666,300 akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, laporan daripada mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 61 tahun itu diterima semalam.
“Mangsa tertarik menyertai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan antara lima hingga 10 peratus dalam tempoh tiga hari.
“Terpengaruh dengan tawaran itu, mangsa telah melakukan sebanyak 20 transaksi pembayaran berjumlah RM666,300 ke dalam dua akaun bank tempatan, bermula dari 4 Mac hingga 17 April.
“Selepas membuat pembayaran, mangsa mendapati aplikasi tersebut memaparkan jumlah keuntungan sebanyak RM1.4 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun apabila cuba membuat pengeluaran, mangsa diminta untuk membuat pelaburan tambahan RM100,000 sebelum mula menyedari telah ditipu selepas gagal mengeluarkan wang pelaburan tersebut.
Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu berkaitan pelaburan tidak wujud yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.
Orang ramai juga disarankan menggunakan kemudahan dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID Infoline, Semak Mule, serta mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi jenayah komersil melalui laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia.- MalaysiaGazette