KUANTAN – Seorang pensyarah dan seorang pesara masing-masing mengalami kerugian RM240,000 dan RM311,998.50 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud pada bulan lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pada 10 Mac lalu, mangsa seorang pensyarah lelaki, 43, diperdaya oleh seorang individu yang dikenali melalui platform media sosial yang menawarkan pelaburan saham.
“Individu tersebut juga telah mengarahkan untuk mangsa membuat pendaftaran melalui pautan yang diberikan. Mangsa mula melabur tiga kali dengan anggaran RM7,000 dan telah memperolehi keuntungan anggaran RM3,000.
“Mangsa mula yakin dan telah membuat enam transaksi ke empat akaun bank yang berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM240,000 daripada simpanannya sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Yahaya, setelah pelaburan dibuat, mangsa dimaklumkan akaunnya menunjukkan keuntungan mencecah RM1 juta namun gagal mengeluarkan wang tersebut kerana didakwa terlupa kata laluan.
Tambah beliau, suspek kemudian meminta bayaran tambahan sebanyak RM250,000 untuk mendapatkan kata laluan baharu dengan menjanjikan RM220,000 akan dibiayai oleh suspek sendiri dan mangsa hanya perlu membayar RM30,000.
Mangsa mula menyedari dirinya ditipu oleh kenalannya yang terlibat dalam pemerdayaan pelaburan yang tidak wujud, ujarnya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Yahaya berkata, pada 11 November 2024, mangsa seorang pesara wanita, 66, diperdaya melalui satu iklan pelaburan yang disiarkan di aplikasi TikTok.
Katanyam mangsa dihubungkan ke aplikasi WhatsApp dan dimasukkan ke dalam kumpulan dinamakan B810 Quantitative Al Institute.
Selepas itu, warga emas berkenaan memuat turun aplikasi pelaburan dengan pautan yang diberikan oleh suspek, jelasnya.
“Kemudian mangsa telah mula membuat pelaburan dengan memindahkan wang sebanyak 16 transaksi ke dalam enam akaun bank yang berbeza dari 5 Januari hingga 15 April lalu sehingga mengalami kerugian sebanyak RM311,998.50.
“Setelah itu, aplikasi tersebut tidak dapat diakses dan mangsa diminta membuat bayaran RM50,741 untuk melepaskan kawalan risiko bank,” katanya.
Yahaya berkata, mangsa mula menyedari dirinya ditipu dan sumber kerugian mangsa adalah wang simpanan milik mangsa. – MalaysiaGazette