Tambak Johor merupakan sambungan darat pertama antara Malaysia dan Singapura dan ia menghubungkan bandar Johor Bahru dengan bandar Woodlands di Singapura. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2022.

SINGAPURA – Tiga lelaki warga Malaysia berusia antara 28 hingga 47 tahun ditahan Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura pada Jumaat kerana disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.

Anggota PCG melakukan rondaan sekitar 2.05 petang apabila mereka mengesan sebuah sampan yang tidak dikenali di perairan Pulau Sarimbun, menurut kenyataan polis pada Sabtu.

Apabila dihampiri, sampan itu bertindak memecut menuju ke arah perairan Malaysia.

“Pegawai pengawal pantai kemudian bertindak mengejar sampan berkenaan yang kemudiannya melakukan beberapa pergerakan berbahaya selain turut melanggar bot PCG sebanyak dua kali sebelum berjaya dihentikan.

“Dua lelaki dari sampan terjatuh ke laut akibat insiden itu, namun berjaya naik semula ke atas sampan,” menurut kenyataan itu.

Seorang anggota PCG dilaporkan mengalami cedera ringan.

Selain ditahan kerana menceroboh, lelaki berusia 28 tahun yang mengemudi sampan itu juga disiasat atas kesalahan lain, termasuk navigasi secara melulu dan gagal mematuhi arahan pihak berkuasa.

Sampan dirampas dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here