KUALA LUMPUR – Terengganu tidak sesekali melupakan haknya yang masih belum dikembalikan sepenuhnya iaitu royalti petroleum di sebalik kesungguhan menjana pendapatan baharu.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, negeri itu akan tetap menuntut kepunyaan rakyat Terengganu itu daripada Kerajaan Persekutuan.
Tegas beliau, menjadi amanah dan tanggungjawab kerajaan negeri yang diberi mandat untuk memastikan hasil negeri bukan sahaja dipelihara, malah terus diperkasa secara bermaruah.
“Ini bukan isu baharu dan ia bukan juga satu permintaan tetapi hak yang telah termaktub dan dijamin. Selagi mana hak ini belum dilunaskan selagi itu suara dan tuntutan akan terus disuarakan dengan tegas, konsisten dan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Khalil mengingatkan sistem federalisme yang menjadi asas hubungan antara negeri dan Persekutuan harus dikembalikan ke atas neraca keadilan yang sebenar.
Sehubungan itu, katanya, penubuhan Suruhjaya Khas Ke Arah Reformasi Federalisme seperti yang disarankan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar disifatkan amat wajar.
Tegas beliau, sekira sistem federalisme itu terus dimanipulasi demi kepentingan politik sempit maka ia hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap struktur negara yang sepatutnya menjamin kesaksamaan.
Apatah lagi negara ini dibina atas asas perkongsian kuasa bukan pemusatan kuasa mutlak, justeru menjadi kewajipan untuk memastikan tiada satu pihak pun ditindas atau dinafikan hak hanya kerana perbezaan pentadbiran atau prinsip perjuangan.
“Akhirnya, sebagai umat Islam, kita tidak pernah diajar untuk tunduk kepada kezaliman dan penindasan. Kita diajar untuk menegakkan kebenaran dan memperjuangkan hak dengan hujah yang jelas, fakta yang kukuh dan tawakal yang penuh kepada Allah,” katanya.
Isu berkenaan royalti kepada Terengganu terus menjadi polemik berpanjangan dengan Ahmad Samsuri sebelum ini pernah mendakwa Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih berkaitan royalti terhadap negeri itu.
Dalam ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2025, Ahmad Samsuri mendakwa segala urusan perbelanjaan negeri Terengganu berkaitan peruntukan royalti kini memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan mengikut case-by-case.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menafikan Kerajaan Persekutuan mengenakan sebarang sekatan terpilih berkaitan royalti minyak kepada Terengganu.
Sebaliknya, jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menegaskan Kerajaan Persekutuan akan terus menyalurkan bantuan kepada negeri itu seperti apa yang dikenali sebagai Wang Ehsan sebelum ini. – MalaysiaGazette