GEORGE TOWN – Polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja yang bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan penahanan dua lelaki tempatan dan merampas dadah dianggar bernilai RM68,000 dalam tiga serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bermula 3 petang hingga 7 malam.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama, polis telah menahan seorang lelaki tempatan di Seberang Jaya dan merampas satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.45 gram (g).
“Polis dengan dipandu arah suspek telah dibawa ke kawasan berhampiran dan merampas tiga kotak berisi plastik berwarna biru dengan satu kotak mengandungi lapan ketulan mampat dan enam peket plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja dianggarkan seberat 8,478g.
“Dua lagi kotak masing-masing berisi tujuh ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 7,400g dan 7,414g,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Susulan itu, Hamzah berkata, pihaknya membuat satu serbuan di SPT dan berjaya menahan seorang lagi lelaki dipercayai ahli sindiket.
Menurut beliau, dadah yang dirampas itu boleh digunakan 11,500 penagih dan hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.
“Kedua-dua suspek berusia 31 dan 53 tahun itu direman selama tujuh hari hingga 25 April untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.- Bernama