KUALA LUMPUR – Presiden Interim Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy menyifatkan adalah amat memalukan apabila polis bertindak menahan editor dan timbalan editor Sin Chew Daily susulan kesilapan tidak disengajakan dalam mengabaikan lambang bulan sabit pada Jalur Gemilang.
Apatah lagi, kata beliau, tindakan itu diambil meskipun akhbar berkenaan telah mengambil langkah bertanggungjawab dengan menggantung kedua-dua individu tersebut iaitu satu bentuk akauntabiliti dalaman yang jelas.
Malah kesilapan tersebut juga telah diperbetulkan melalui permohonan maaf rasmi daripada pihak pengurusan yang sepatutnya sudah memadai tanpa perlu ada tindakan lanjut yang menghukum.
“Pendekatan keras sebegini hanya menyerlahkan ketidakseimbangan dalam menangani sesuatu kesilapan yang jelas berlaku tanpa niat jahat,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu namun dibebaskan dengan jaminan polis.
Penahanan mereka bagi membantu siasatan susulan polis menerima lebih 40 laporan berhubung isu kesilapan Jalur Gemilang itu di seluruh negara.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sementara itu, Ramasamy yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata, kesilapan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam apa jua bidang termasuk kewartawanan.
Namun apa yang lebih penting bagaimana kesilapan itu ditangani dan dalam kes kesilapan Jalur Gemilang tersebut, maklum balas daripada Sin Chew Daily jelas bertanggungjawab dan penuh keinsafan.
“Jika pihak polis tidak dapat menerima permohonan maaf yang jelas dan terbuka, kita patut mempersoalkan kefahaman mereka tentang erti keadilan dan peranan sebenar mereka dalam masyarakat.
“Ia kelihatan seolah-olah pasukan polis kita lebih berminat memburu kesilapan editorial berbanding menangani isu-isu keselamatan yang lebih mendesak dan jelas berlaku dalam negara,” katanya.
Tambah Ramasamy, beliau berasa `muak’ memikirkan polis sanggup bertindak sebegitu keras hanya kerana satu kesilapan jujur yang dilakukan oleh dua pengamal media.
Menurutnya, adalah memalukan dalam sistem demokrasi yang kononnya diamalkan di negara ini, kebebasan media masih lagi kekal sebagai satu ilusi rapuh iaitu mitos yang sering dihancurkan oleh campur tangan negara.
“Apa lagi selepas ini? Adakah Kementerian Dalam Negeri pula akan masuk campur untuk membatalkan lesen penerbitan Sin Jit Poh (Sin Chew Daily)? Di Bolehland, segala-galanya boleh berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette