PEKAN – “Ada antara cikgu-cikgu sudah mula usik saya dengan memanggil haji”.
Demikian kata seorang jemaah haji paling muda dari Pahang, Amsyar Muhamad Razaki yang berusia 16 tahun yang berkongsi berita gembira dengan guru-gurunya tentang pemilihannya ke Tanah Suci pada 23 Mei ini.
Amsyar gembira terpilih mengerjakan Rukun Islam kelima itu bersama ibu dan abang sulungnya tahun ini dan turut berkongsi berita itu dengan rakan-rakannya.
“Persiapan pun alhamdulillah sudah sedia dengan mental fizikal. Boleh dikatakan saya dah bersedia sejak setahun lepas,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji 1446H/2025 Peringkat Negeri Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj hari ini.
Jelas remaja itu, ibunya yang merupakan seorang guru telah mendaftar namanya dengan Tabung Haji seawal berusia dua bulan.
Bagaimanapun, dia sama sekali tidak menyangka akan menerima panggilan menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
“Waktu darjah enam pun emak sudah pernah cakap pasal daftar haji tapi saya tak ambil serius pun sebab saya ingat dia main-main.
“Tapi naik tingkatan tiga dah kena panggil (Tabung Haji) dan kena kursus semua, saya ambil serius perkara itu,” jelasnya.
Sementara itu, Iteh Mat Noor, 84, pula memberitahu, dia pernah dipanggil untuk mengerjakan haji beberapa tahun sebelum ini namun dia terpaksa menolak kerana faktor yang tidak dapat dielak.
Namun dia bersyukur dan gembira diberikan kesempatan untuk mengerjakan ibadah itu meskipun tidak dapat menunaikannya bersama suami tercinta.

“Masa penularan Covid-19 dulu ada syarat umur melebihi 70 tahun tak boleh pergi, jadi saya terpaksa menolak panggilan mengerjakan haji ketika itu.
“Tapi kali ini saya terima panggilan dan saya terima. Saya akan bertolak pada 13 Mei ini bersama dua orang jiran yang sudah dianggap macam keluarga,” kata Iteh.
Tahun ini, seramai 1,725 orang jemaah dari Pahang terpilih menunaikan ibadah haji dan menerima sumbangan wang saku sebanyak RM750 setiap seorang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian inisiatif menerusi Program Barakah Haji Pahang kali ini merupakan kali ketiga dilaksanakan.

“Semoga ia dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan mereka. Ia sebagai tanda ingatan tulus ikhlas kerajaan negeri kepada semua jemaah haji dari Pahang,” katanya.
Selain pemberian wang saku, jemaah juga dibekalkan dengan pek makanan retort yang terdiri daripada juadah tradisional seperti kari dan kurma ayam serta Buku Himpunan Doa Arafah yang dilancarkan dalam majlis sama.
Sementara itu, Wan Rosdy memberitahu, beliau sendiri akan menyertai jemaah haji bersama keluarganya pada 30 Mei ini.

Turut hadir pada majlis hari ini adalah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad. – MalaysiaGazette