PUTRAJAYA – Peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) membabitkan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semakin membimbangkan dengan purata 80 individu sehari dikenal pasti menghidap pelbagai masalah kesihatan tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, berdasarkan perangkaan, jumlah pencarum mengalami keilatan akibat NCD meningkat 26.5 peratus dalam tempoh hanya dua tahun sejak 2022.
Ia sekali gus dikhuatiri akan merencatkan kelangsungan produktiviti tenaga kerja.
Menurutnya, penilaian menerusi laporan terkini Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2021 mendedahkan Malaysia berdepan kerugian mencecah RM64.2 bilion setahun atau bersamaan 4.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disebabkan NCD.
“Kerugian yang dinilai menerusi peruntukan kos rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan selain kehilangan produktiviti pekerja sebenarnya berupaya ditangani menerusi pemakanan serta amalan gaya hidup sihat.
“Atas dasar ini, Perkeso melaksanakan Program Saringan Kesihatan (HSP) sejak 2013 yang setakat ini sudah membabitkan lebih 900,000 individu kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa program Perkeso Run & Ride 2025 di Dataran Wawasan di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof.
Steven menambah, jika dilihat kepada data HSP 3.0 pada 2023 dan 2024, saringan terhadap 270,000 pekerja berusia 40 tahun ke atas mendapati 19.4 peratus daripadanya menghidap penyakit kencing manis.
“Selain itu, 19.6 peratus menghidap penyakit darah tinggi manakala 59.7 peratus lagi dikesan mempunyai kolesterol berlebihan dalam darah dan 160,100 orang (59.3 peratus) mengalami masalah obesiti atau kegemukan,” katanya. – MalaysiaGazette
