Afdlin Shauki

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang PKR Setiawangsa yang baharu, Datuk Afdlin Shauki bersyukur ahli parti itu masih percaya kepadanya biar pun sebelum dirinya terpalit isu berkaitan projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mengalahkan penyandang cabang itu, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa, Afdlin berkata, ia bertitik tolak dengan keyakinan ahli yang lebih bijak menilai dan memilih keikhlasan serta rekod khidmat bukan persepsi murahan.

“Sebagai anak seni yang lahir daripada masyarakat dan sentiasa bersama rakyat, saya akan terus menggunakan pengalaman saya dalam mengurus yayasan, kerja kemasyarakatan, pendidikan seni dan aktivisme sosial untuk memperkasa cabang ini.

“Dengan semangat ‘Mesra Setiawangsa’, saya mahu kita menjadi contoh kepada seluruh negara bahawa politik boleh menjadi wadah kasih sayang, perpaduan dan solusi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Afdlin yang merupakan seorang pelakon dan pengarah filem itu juga berkata, ia merupakan amanah terbesar buatnya yang mana ia bukan sekadar satu kejayaan peribadi tetapi simbol suara ahli yang mahu melihat nafas baharu dalam kepimpinan tempatan.

“Mereka mahu politik yang menyentuh hati dan menyelesaikan masalah sebenar. Kemenangan ini bukan untuk diraikan dengan sorak gembira tetapi untuk direnung sebagai titik mula perjuangan yang lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu, Afdlin turut menjemput seluruh penyokong Nik Nazmi untuk bersama-sama memperkasakan Cabang Setiawangsa.

“Perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi tetapi selepas tamatnya pemilihan, yang tinggal hanyalah satu matlamat iaitu membina kekuatan parti dan berbakti kepada ahli serta masyarakat.

“Cabang ini milik kita semua. Ayuh, kita buka lembaran baharu, bersatu dan bergerak ke hadapan.

“Lebih penting, saya menyeru kepada semua ahli cabang agar kita menguatkan barisan, bekerjasama dan bersedia membantu Nik Nazmi sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa dalam melaksanakan agenda reformasi di peringkat nasional,” ujarnya.

Pada pemilihan semalam, Afdlin memperoleh 631 undi berbanding 563 undi yang diperoleh Nik Nazmi.

Bagaimanapun, sejurus kemenangan diumumkan, Nik Nazmi sudah mengemukakan  rayuan dengan menggunakan saluran serta proses sewajarnya untuk menyuarakan beberapa isu yang timbul pada pemilihan peringkat Cabang ini.

Menerusi satu kenyataan sebelum ini, Nik Nazmi berkata, langkah ini merupakn sebahagian komitmen untuk memastikan pemilihan parti dijalankan dengan integriti dan keadilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here