Bendera pkr
Gambar hiasan.

PEKAN –  Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Pahang (PKR), Rizal Jamin gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Lipis selepas tewas dalam pemilihan parti itu semalam.

Dalam keputusan disahkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), beliau yang juga Ketua Pakatan Harapan (PH) Pahang memperoleh 421 undi ditewaskan lawannya Mohd Hasim Mansor yang mendapat 516 undi.

Selain Rizal, Naib Pengerusi PKR Pahang, Sim Chon Siang turut tewas dalam pemilihan bagi jawatan ketua Cabang PKR Kuantan yang membabitkan pertandingan dua penjuru.

Sim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum dan Exco Kerajaan Negeri memperoleh 575 undi manakala lawannya, Fakhrul Anuar Zulkawi meraih 659 undi.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi pula menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang PKR Indera Mahkota.

Turut menang tanpa bertanding ialah Wan Fauzuldin Wan Samad (Paya Besar), Mohamad Yazid Che Mat (Pekan) dan Mohd Hafez Harun (Kuala Krau).

Di Cameron Highlands, Ismail Mohd Hussin mengekalkan jawatan sebagai Ketua Cabang dengan meraih 92 undi menewaskan Mahiruddin Ahmad Khairuddin (76 undi) dan Mazlina Mustafa (0).

Di Raub, G. Sivanandar menang jawatan Ketua Cabang dengan meraih 281 undi berbanding lawannya D. Mahenthiran yang mendapat 150 undi.

Difahamkan Ketua Cabang sebelum ini , Anuar Busu tidak bertanding jawatan ketua cabang dan hanya bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang dan meraih 143 undi.

Di Jerantut, bekas ketua cabang, Mohd Rafly Mohd Satar tewas kepada Hassan Basri Awang Mat Dahan menerusi pertandingan empat penjuru dengan hanya memperoleh 243 undi manakala Hassan 471 undi.

Dua lagi pesaing, Mohd Hasnizam Md Daud memperoleh 407 undi, manakala Muhammad Khairul Asri Badrun pula 360 undi.

Begitu juga di Temerloh menyaksikan R. Maheswaran  tewas menerusi persaingan tiga penjuru dengan bilangan undi paling sedikit iaitu 375 undi.

Pesaingnya, Mohd Amran Jalaluddin menang jawatan Ketua Cabang dengan 447 undi manakala Dzul Azrul Azhar memperoleh 377 undi.

Di Bentong, Jeffry Nizam berjaya mempertahankan jawatan ketua cabang apabila memenangi undi sebanyak 285 berbanding dua pesaing iaitu Suhaimi Ibrahim (239) dan Abdul Kadir Ali (238).

Di Bera, Manolan Mohamad juga berjaya mempertahan jawatan Ketua Cabang apabila menang 225 undi menewaskan Mohamed Jidi Yaakob yang mendapat 186 undi.

Sama juga keadaan di Rompin apabila penyandang jawatan ketua cabang, Abdul Rahim Sulaiman mengekalkan jawatan dengan memenangi 147 undi berbanding 95 undi kepada Raja Mohd Fadhlan Raja Daud.

Sementara itu, di Maran, Sia Wei Lung menang jawatan ketua cabang dengan 176 undi mengalahkan Amran Tahir yang mendapat 116 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here