Orang awam melintasi dinding yang memaparkan Rukun Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara di Stesen transit aliran massa (MRT) Merdeka, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 JULAI 2020.

Oleh: Dr. Ahamad Jama’Amin Yang

DALAM kancah politik negara yang semakin bersimpang-siur, rakyat Malaysia kian letih — bukan sekadar dengan pertukaran kerajaan yang berulang, tetapi dengan kegagalan struktur politik itu sendiri dalam membawa makna sebenar demokrasi. Di sebalik slogan perpaduan dan pembangunan, politik nasional terus berlegar dalam konflik identiti, retorik sempit dan perebutan kuasa yang meminggirkan suara rakyat. Aspirasi rakyat untuk hidup dalam negara yang adil, berdaya saing dan bersatu semakin tenggelam dalam kabut permainan elit dan kepentingan kelompok.

Keletihan ini bukan bersifat sementara. Ia telah mengakar sebagai suatu rasa kolektif dalam masyarakat — rasa kecewa, sinis dan tidak percaya. Rakyat melihat politik bukan lagi sebagai ruang harapan, tetapi medan yang memenatkan jiwa dan memudarkan impian. Persoalan besar pun timbul: Adakah kita sedang menuju ke arah negara yang kehilangan jiwa kebangsaannya sendiri?

Politik tanpa arah: Antara kuasa dan ketidakpercayaan
Fenomena politik keletihan yang semakin ketara hari ini lahir daripada kegagalan memahami politik sebagai alat pembangunan sosial. Politik telah lama disempitkan kepada isu identiti sempit – bangsa, agama dan wilayah – hingga mengabaikan agenda keadilan sosial dan perpaduan nasional.

Survival politik lebih diutamakan berbanding prinsip perlembagaan. Maka, tidak hairanlah jika kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi dan institusi awam semakin terhakis. Ketika Perlembagaan dan Rukun Negara gagal dijadikan kompas tindakan politik, negara kehilangan panduan moral dan nilai bersama. Politik menjadi medan perbalahan, bukan penyelesaian.

Budaya politik dua alam: Sistemik vs harian
Politik Malaysia bergerak dalam dua alam yang sering tidak selari. Di satu sisi, wujud politik sistemik — rangka formal seperti pilihan raya, Parlimen dan perlembagaan — yang memberi gambaran demokrasi berjalan seperti sepatutnya. Namun di sisi lain, politik harian yang dirasai rakyat lebih dipacu oleh sentimen perkauman, emosi agama dan kekecewaan terhadap kepimpinan. Jurang antara kedua-dua dunia ini menimbulkan kekeliruan mendalam tentang apa sebenarnya makna politik kepada rakyat biasa.

Media sosial memperbesar ketidaksejajaran ini. Naratif sempit dan emosi marah berulang tanpa henti di ruang maya, menjadikan politik seolah-olah hanya tentang siapa “menang” dalam retorik, bukan siapa menyelesaikan masalah. Dalam keadaan ini, idealisme menjadi semakin lemah. Rakyat mengundi tetapi tidak percaya; sistem kelihatan berfungsi tetapi harapan makin pudar.

Politik sepatutnya menjadi wadah pembinaan harapan, tetapi telah berubah menjadi ruang yang membebankan jiwa. Apabila retorik lebih berkuasa daripada dasar dan emosi lebih menentukan daripada prinsip, maka kepercayaan kepada politik sebagai jalan perubahan turut terhakis. Dalam budaya politik dua alam ini, rakyat bukan sekadar keliru — mereka letih. Dan keletihan ini bukan lagi soal perasaan semata, tetapi petanda keretakan mendalam dalam hubungan antara negara dan warganya.

Rukun Negara: Simbol tanpa jiwa
Rukun Negara yang suatu ketika menjadi tiang perpaduan selepas tragedi 13 Mei 1969 kini menjadi ritual kosong. Ia tidak lagi hidup dalam hati rakyat, apatah lagi dalam sistem pendidikan. Ia diajar sebagai hafalan, bukan sebagai prinsip hidup bernegara. Generasi muda semakin jauh daripada nilai-nilai asas seperti keadilan, kesopanan dan keluhuran perlembagaan.

Tanpa weltanschauung nasional – satu pandangan dunia yang dikongsi bersama – rakyat menjadi mudah dipengaruhi retorik populis dan perkauman. Kekosongan ideologi ini menjadi lubuk subur untuk keletihan politik berpanjangan.

Ekosistem keletihan: Elit, intelektual dan rakyat
Budaya survivalisme politik dalam kalangan elit telah menjadikan politik sebagai kitaran kuasa tanpa pembaharuan. Seperti ditegaskan oleh Francis Fukuyama, negara yang gagal membina institusi berdaya tahan akan mudah terperangkap dalam ketakutan kehilangan kuasa. Malaysia kini dalam situasi itu. Lebih menyedihkan, golongan intelektual yang sepatutnya menjadi obor kesedaran rakyat telah kehilangan daya kritikal. ‘Tukang jerit’ menggantikan pemikir bebas. Almarhum Prof. Syed Hussein Alatas mengingatkan bahawa intelektual yang tunduk kepada kuasa telah mengkhianati tugas moral mereka.

Ditambah pula dengan literasi politik rakyat yang rendah, seperti dilaporkan dalam World Values Survey, rakyat menjadi mudah dimanipulasi dan akhirnya pasif. Ekosistem ini membentuk pusaran keletihan yang saling mengukuhkan: elit yang mempertahankan kuasa, intelektual yang diam dan rakyat yang kecewa.

Akibat politik keletihan: Darurat sosial dan ekonomi
Kesan langsung daripada keletihan politik ialah ketidakstabilan yang berterusan. Empat kerajaan bertukar dalam lima tahun adalah manifestasi krisis keyakinan terhadap kepimpinan. Dasar awam terbengkalai, pelabur hilang kepercayaan dan pembangunan negara terhenti.

Lebih kritikal, politik identiti memperdalamkan jurang antara kaum. Slogan integrasi nasional hanya tinggal retorik, manakala masyarakat terpecah dalam silo psikologi masing-masing. Keterasingan ini menjadi api dalam sekam kepada radikalisasi dan ketidakstabilan sosial pada masa hadapan.

Ekonomi pula terkesan secara langsung. Ketidaktentuan politik mewujudkan iklim pelaburan yang rapuh. Malaysia ketinggalan di belakang Vietnam dan Filipina, bukan kerana kekurangan potensi, tetapi kerana tiada kestabilan politik untuk menjamin kepercayaan jangka panjang pelabur.

Harapan Baharu: Pendidikan dan solidariti nasional
Membebaskan Malaysia daripada politik keletihan memerlukan reformasi mendalam. Bukan sekadar pertukaran pemimpin, tetapi pembinaan semula asas berfikir sebagai rakyat. Pendidikan harus menjadi wahana utama — bukan hanya untuk melahirkan tenaga kerja, tetapi membentuk warga yang berjiwa kebangsaan, beretika dan mampu berfikir kritikal.

Pendidikan vernakular perlu dimurnikan agar identiti budaya tidak menenggelamkan semangat kebangsaan yang inklusif. Media, sekolah dan institusi awam harus bersama-sama menyemai weltanschauung nasional yang baharu: berpaksikan keadilan, kemanusiaan dan maruah.

Jangan wariskan keletihan ini
Seperti diperingatkan oleh Al-Mawardi dan Malik Bennabi, tanpa masyarakat yang berfikir bebas dan beradab, politik yang adil tidak akan pernah terwujud. Malaysia berada di persimpangan kritikal — sama ada berani membina makna baharu untuk tanah air ini, atau terus tenggelam dalam pusaran politik keletihan yang akan menjadi warisan pahit untuk generasi mendatang.

Kita mesti memilih untuk menjadi bangsa yang memikul harapan, bukan mewarisi keputusan.

Penulis adalah Pensyarah, Jabatan Sejarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani Kedah dan Felo Bersekutu Royal
Historical Society University College London.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here