Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menunjukkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Command Center BN di Kampung Haji Tahir, Tapah, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 APRIL 2025.
Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menunjukkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Command Center BN di Kampung Haji Tahir, Tapah, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 APRIL 2025.

TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir atau dikenali sebagai Ustaz Yusri menggariskan tiga tekad dan tujuh tawaran utama dalam manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ Ustaz Yusri, 54, berkata, salah satu antara tiga tekad yang menjadi asas kepada manifesto adalah menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Kata beliau, selain itu beliau juga menggariskan tekad menolak sebarang sentimen perkauman dan politik kebencian yang memecahbelahkan rakyat serta menghubungkan inisiatif sosioekonomi di DUN Ayer Kuning selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Ustaz Yusri yang mewakili Kerajaan Perpaduan dalam PRK itu ketika membentangkan manifesto berkata, tujuh tawaran yang digariskan meliputi aspek ekonomi, sara hidup rakyat, infrastruktur setempat, anak muda dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain itu beliau berkata, manifesto itu juga turut menyentuh golongan warga emas, pendidikan serta perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terbaik.

“Di bawah teras ekonomi tempatan yang makmur, saya mahu menyediakan geran khas kepada usahawan kecil, petani, pekebun kecil, dan penjaja.

“Selain itu, saya mahu memperluaskan akses pasaran bagi hasil tani dan produk kampung, serta memperkasakan keusahawanan melalui bimbingan dan e-dagang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Manifesto Calon BN bersempena PRK DUN Ayer Kuning di Command Center BN, Kampung Haji Tahir, Temoh, dekat sini, pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan serta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tambah Ustaz Yusri, melalui tawaran meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat, beliau berhasrat memperluaskan program kedai bergerak dan jualan Rahmah, serta memberi peluang kepada peniaga kecil tempatan dalam program kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, sementara melalui tawaran ketiga yang menyentuh pembangunan infrastruktur setempat, Ustaz Yusri mahu menambah baik jaringan jalan kampung dan kawasan pertanian.

Selain itu, beliau juga akan berusaha untuk menyediakan ruang niaga berstruktur untuk penjaja kecil dan peniaga muda, di samping meningkatkan liputan dan jaringan komunikasi, terutama di kawasan perumahan baharu.

“Di bawah tawaran agenda anak muda dan TVET, saya menawarkan tajaan latihan TVET dalam bidang pertanian moden, automotif, dan digital.

“Pada masa sama saya juga akan mewujudkan inisiatif pemadanan pekerjaan dengan sektor industri di Tapah, Kampar, dan Slim River,” kata beliau.

Pada masa sama, Ustaz Yusri memberitahu tawaran kelima yang digariskan dalam manifesto PRK DUN Ayer Kuning adalah prihatin warga emas, wanita dan Orang Asli.

Jelas beliau, di bawah tawaran itu beliau berhasrat untuk memperluaskan akses keselamatan sosial kepada warga emas miskin, dan ibu tunggal serta menawarkan bimbingan dan kemudahan pendidikan, kesihatan, dan pembangunan koperasi masyarakat Orang Asli.

Menyentuh tawaran pendidikan berkualiti, Ustaz Yusri berkata, beliau mahu memperjuangkan usaha menaik taraf kemudahan sekolah rendah, menengah, dan prasekolah.

Kata beliau, di bawah tawaran sama, beliau juga mahu menyediakan sokongan pendidikan dan kelas motivasi untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Tawaran ketujuh adalah perkhidmatan ADUN yang berjiwa rakyat. Saya mahu membuka Pusat Khidmat Rakyat dengan waktu operasi panjang termasuk hujung minggu.

“Selain itu, saya akan menjalankan lawatan berkala ke kampung dan taman untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat secara langsung,” katanya lagi.

manifesto BN Ustaz Yusri PRK Ayer Kuning

Bukan sekadar tawaran politik

Ustaz Yusri berkata, manifesto yang dirangka itu lahir atas cetusan harapan masyarakat setempat yang digarap daripada luahan dan aspirasi yang dizahirkan penduduk di Ayer Kuning.

“Manifesto ini bukan sekadar tawaran politik, tetapi ikrar, tanggungjawab, dan komitmen saya untuk turun padang, memberikan sebaik-baik perkhidmatan, mendengar suara rakyat, dan bekerja sedaya upaya demi memastikan setiap perkara yang dinyatakan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Insya-Allah, jika diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya akan pastikan visi Ayer Kuning Sejahter Bersama diterjemahkan menjadi kenyataan,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PRK Ayer Kuning: Ustaz Yusri disenangi masyarakat Orang Asli

Pilih calon BN pastikan DUN Ayer Kuning kekal bawah kerajaan – Ahmad

Persaingan Tiga Penjuru, PRK Ayer Kuning Buka Gelanggang

PRK Ayer Kuning penentu kekuatan parti dalam Kerajaan Perpaduan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here