KUALA LUMPUR – Menantu usahawan Rozita Ibrahim iaitu Datin Seri Nur Shahida tampil berkongsi sejarah hidupnya seolah-olah menjawab kenyataan dikeluarkan oleh pelakon Datin Rebecca Nur Al Islam tentangnya sebelum ini.
Dia yang juga isteri kepada Datuk Seri Aliff Syukri itu memberitahu, dirinya sudah lama dikenali sejak mula menyertai kumpulan nasyid Solehah seawal usia 14 tahun.
Malah, kata Shahida dia juga pernah menjadi model iklan jenama syampu Sunsilk yang turut melonjakkan namanya dalam bidang seni.
“Saya meneruskan persekolahan di Bandar Baru Sentul sehinggalah saya menjadi ahli kumpulan Solehah pada berusia 14 tahun.
“Jadi, bermakna saya tak menumpang populariti sesiapa. Saya masuk nasyid, kemudian jadi model iklan Sunsilk,” katanya menerusi sebuah video di media sosial di sini hari ini.
Dia dipercayai menjawab beberapa kenyataan Rebecca yang memintanya bersyukur dengan kehidupan mewahnya sekarang kerana mendakwa usahawan itu menumpang kekayaan dan populariti suami dan ibu mentuanya.
Bercerita lanjut mengenai kehidupannya, Shahida secara sinis memberitahu, dia dilahirkan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Kata-kata ibu kepada enam anak itu memberi gambaran dia bukanlah pernah hidup susah sejak kecil.
Tambah Shahida lagi, dia dan Aliff juga pernah hidup susah ketika awal perkahwinan.
“Sebelum berkahwin saya ada kerja dan pendapatan sendiri. Mak ayah saya pun bukannya tak bagi saya makan. Kalau saya berkahwin dengan orang kaya, buat apa saya susah-susah berniaga di pasar.
“Baik duduk rumah, ‘shopping’ habiskan duit. Buat apa pagi, petang, siang, malam saya buat ‘live’,” tulisnya dalam satu hantaran di media sosial.
Bekas anggota kumpulan nasyid Solehah itu turut berkongsi gambar suaminya yang sedang berniaga di pasar pada tahun 2008.
“Nasib baik saya ada bukti gambar yang diambil oleh saya sendiri ketika kami berniaga di pasar. Kalau tak mesti orang kata saya tumpang kesenangan suami,” katanya.
Perang kedua-dua selebriti itu tercetus selepas Shahida dikatakan menyelar tindakan Rebecca yang sering berkongsi gambar bersama ibu mentuanya iaitu Bonda Rozita Ibrahim dalam media sosial demi publisiti.
Rebecca yang berang dengan kenyataan Shahida membidasnya dengan menggelarnya sebagai mak cik bodoh dan bermulut jahat. – MalaysiaGazette