SHAH ALAM – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam membanteras penipuan pakej haji dan umrah secara dalam talian.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya mengulangi amaran tegas kepada tidak bertanggungjawab yang berterusan mempromosikan pakej palsu itu kerana tindakan undang-undang sedang menanti mereka.
“Saya minta Tabung Haji untuk lihat kepada mana-mana kes yang melibatkan penipuan ini untuk diambil tindakan. Ada tindakan memerlukan kita bekerjasama dengan pihak-pihak lain termasuk MCMC di mana promosi itu dibuat secara dalam talian. Jadi Tabung Haji akan berurusan dengan MCMC serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
“Tuanku (Sultan Selangor) masa santapan tadi pun maklum supaya diulang balik tindakan tegas diambil terhadap mereka yang menipu itu yang mengambil ruang untuk mengaut keuntungan di atas kesusahan orang lain,” katanya kepada pemberita di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Terdahulu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam agar tidak menganiaya jemaah dengan menawarkan pakej ibadat haji yang palsu.
Seri Paduka bertitah, ia kerana perbuatan tersebut dilarang di dalam Islam dan baginda berharap tiada lagi jemaah haji yang menjadi mangsa penipuan ejen haji dan umrah yang tidak bertauliah.
Sultan Selangor turut mengingatkan jemaah tidak menggunakan agensi selain Tabung Haji bagi mengelakkan diri mereka tertipu dan terpedaya dengan pelbagai promosi pakej ibadah yang tidak wujud itu.
Dalam pada itu, Mohd Na’im menggesa umat Islam untuk membuat semakan status ejen yang menawarkan haji dan umrah dalam talian dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum membuat pembayaran.
“Seperti mana Tuanku titahkan tadi, saya seru sekali lagi supaya mereka yang benar-benar berhasrat menunaikan haji dan umrah untuk buat semakan, mudah sahaja.
“Buat semakan sama ada di MOTAC, memang ada sistem yang boleh semak sama ada ejen tersebut boleh dipercayai ataupun tidak.
“Selain itu, kita ada 37 pengelola jemaah haji yang memang diberi tauliah dan lesen oleh Tabung Haji.
“Saya merayu, minta sangat, menyeru rakyat kalau nak menunaikan haji dan umrah untuk buat semakan supaya kita tidak masuk lubang penipuan,” katanya.
Kata Mohd Na’im lagi, sekiranya agensi yang menawarkan pakej ibadat haji dan umrah palsu itu berdaftar dengan MOTAC, mereka berdepan dengan risiko penarikan lesen.
“Kita bagi amaran kepada orang yang tidak bertanggungjawab, tapi dalam masa sama, kalau kita sendiri berhati-hati dan mengelak daripada perkara itu berlaku, insya-Allah ia tidak akan berlaku.
“Kalau ia melibatkan ejen-ejen yang telah diberikan lesen oleh MOTAC, lesen mereka ini boleh dibatalkan.
“Cuma Tuanku sudah tentu nak melihat bagaimana dari sudut tindakan tegas dan penguatkuasaan boleh diambil oleh pihak berkuasa, PDRM dan mahkamah dengan mengenakan hukuman berat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette