KUANTAN – Kerajaan negeri telah mengenal pasti 40 keluarga yang dikategorikan sebagai miskin tegar di seluruh negeri Pahang sehingga 18 April tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri komited memberi fokus untuk membantu keluarga ini keluar daripada kategori tersebut menerusi siri inisiatif dan bantuan yang telah dirancang.
“Antara inisiatif yang dijalankan untuk golongan ini adalah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang merupakan program pembasmian kemiskinan luar bandar dengan penyediaan bantuan bina baharu atau pembaikan rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar untuk memiliki kediaman yang selamat dan selesa.
“Selain itu, kerajaan negeri juga turut terlibat dalam program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi yang menumpukan kepada pembasmian miskin tegar dan pengupayaan golongan miskin tegar, miskin dan B40 untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Su Keong Siong (Ketari) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, hari ini.
Menurut Wan Rosdy, kawasan DUN Tanjung Lumpur, DUN Beserah dan DUN Padang Tengku merekodkan jumlah keluarga miskin tegar paling banyak iaitu masing-masing empat keluarga.
Sementara itu, Datuk Andansura Rabu (Beserah) mempersoal kaedah kerajaan negeri memperoleh data bilangan keluarga miskin tegar seperti mana dibentangkan kerana ia tidak menggambarkan bilangan sebenar di DUN seliaannya.
Wan Rosdy menjelaskan, kes membabitkan kategori miskin tegar merupakan sesuatu yang subjektif dan ia akan diselesaikan satu demi satu, namun angka itu akan sentiasa berubah-ubah dari masa ke masa.
“Data kita peroleh daripada tiga jabatan iaitu Pejabat Pembanguan Persekutuan Negeri Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Pahang,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Wan Rosdy turut memberitahu sebanyak 13,483 keluarga telah dikenalpasti dalam kategori miskin di negeri ini membabitkan angka terbanyak direkodkan di DUN Peramu Jaya (841 keluarga), DUN Temerloh (769 keluarga), DUN Tanjung Lumpur (738 keluarga), DUN Beserah (713 keluarga) dan DUN Rompin (656). – MalaysiaGazette