KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas mencari penyelesaian terhadap isu pencerobohan tanah secara haram di negeri itu.
Wakil rakyat DAP itu berkata, isu pencerobohan yang telah berlarutan sejak sekian lama memerlukan kajian mendalam dan pendekatan yang lebih adil serta bersifat menang-menang untuk semua pihak.
“Jawatankuasa ini boleh dianggotai oleh bekas Pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pakar tanah dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau Institut Tanah Negara, ulamak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam dan lain-lain pihak berkaitan.
“Jawatankuasa ini perlu diberi tempoh tiga bulan untuk mengemukakan cadangan pelan tindakan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan menjunjung kasih Titah Diraja Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Menurut Tengku Zulpuri, pencerobohan tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia turut membuka ruang kepada berlaku kecurian hasil tanaman yang ditanam di atas tanah terbabit seperti durian Musang King.
Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan pendekatan lain yang lebih berhemah termasuk konsep tapping right berbanding tindakan menebang atau memusnahkan keseluruhan pokok durian yang telah matang.
Tambahnya, daripada segi kajian ilmiah dan biologi pula, pokok durian matang berukuran lilitan kira-kira 30 inci mampu menyimpan air dan bertindak sebagai ejen pemampan bagi mengurangkan risiko banjir, banjir kilat dan kepala air.
“Adalah mustahil untuk memusnahkan kesemua tanaman yang telah ditanam bertahun-tahun lamanya. Lebih baik ia dimanfaatkan dengan pendekatan yang sesuai.
“Jika dibandingkan dengan pokok kelapa sawit, pokok durian sebenarnya berfungsi lebih baik dalam mencegah hakisan tanah,” katanya.
“Bayangkan kesan jika pokok durian matang di kawasan seluas 80 hingga 200 hektar ditebang sekaligus. Sudah tentu ia akan memberi impak besar kepada ekosistem dan keseimbangan alam,” katanya.
Selain itu, Tengku Zulpuri berkata, durian Musang King bukan sahaja tanaman bernilai tinggi malah produk hilirannya seperti kuih, biskut, coklat, ais krim dan kuih bulan telah menjadikan ia sebagai pemangkin utama kepada sektor agrotourism negara. – MalaysiaGazette