Temubual Eksulusif SkopMG bersama Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman mengenai Pemilihan PKR Suara Akar Umbi, Wajah Baharu di Pejabat Malaysia Gazette Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Jangan salahkan sistem pemilihan dengan tuduhan tidak berasas, kata  Ketua PKR Cabang Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman.

Beliau turut menggesa ahli-ahli parti berhenti daripada menyerang parti dan bertenang.

“Beri ruang demokrasi mengambil tempat dan terima keputusan dengan berlapang dada.

“Tuduhan segelintir pihak kononnya terdapat campur tangan ghaib untuk mengubah keputusan pemilihan PKR adalah berniat jahat dan mencemar imej parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai salah seorang calon bertanding, Syed Badli berkata, sistem pemilihan telah diteliti terlebih dahulu sebelum ia digunapakai.

“Terlalu sukar sistem ini dapat ditembusi pihak luar. Terdapat beberapa kali verifikasi ‘One Time Password‘ atau OTP perlu dilakukan sebelum proses pengundian dapat dibuat.

“Sekali ketika masuk sistem dan sekali lagi ketika proses undi hendak dilakukan,” jelasnya.

Syed Badli berkata, hanya tuan punya peranti yang akan menerima verifikasi OTP dan agak mustahil orang lain dapat menggodam peranti pengundi dengan verifikasi yang ketat.

“Terdapat juga keselamatan tambahan yang dikenakan sebelum proses undian dapat dilakukan iaitu setiap pengundi perlu mengambil gambar swafoto masing-masing dan ini akan menjadi bukti pengesahan bahawa nombor telefon berkenaan digunakan oleh orang betul.

“Dengan proses verifikasi yang ketat dan ciri-ciri keselamatan tambahan yang dikenakan terhadap sistem pengundian, saya amat yakin bahawa setiap undi yang dihantar adalah telus dan datangnya dari anggota yang tepat,” jelasnya.

Katanya, dengan kebebasan dan ketelusan pada sistem pengundian kali ini, setiap anggota dapatlah memilih pemimpin di peringkat Cabang yang dikehendaki tanpa sebarang tekanan dan dipengaruhi sesiapa.

Terdahulu calon Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Faizal Rahman mengkritik keras proses Pemilihan kali ini yang disifatkan sebagai sarat dengan diskriminasi, kelemahan sistem dan manipulasi undi yang menghakis asas keadilan sebenar dalam parti.

Faizal yang juga seorang peguam telah menunggu selama seminggu sebelum mengeluarkan kenyataan bagi meneliti dan memahami sepenuhnya perjalanan pemilihan khususnya yang berlaku peringkat negeri.

Faizal turut mendakwa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang sepatutnya berfungsi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya dalam konteks dalaman parti gagal memainkan peranan sebagai pemantau bebas.

Sebaliknya, beliau menyifatkan JPP sebagai pelaksana percaturan pihak tertentu terutamanya melalui pelaksanaan sistem undian atas talian yang penuh keraguan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here