KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan lima syarat baharu bagi penganjuran konsert terutamanya melibatkan genre muzik Electronic Dance Music (EDM) sebagai usaha melindungi belia daripada bahaya dadah.
Salah satu langkah utama ialah penempatan anjing pengesan K9 di lokasi konsert sebagai kawalan keselamatan tambahan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, anjing-anjing berkenaan akan ditempatkan semasa konsert berlangsung dan juga sebelum acara bermula bagi membolehkan pemeriksaan mengejut atau spot check dijalankan.

“Kita akan tempatkan anjing-anjing di sini semasa berlangsungnya konsert dan juga sebelum, kita akan buat spot check.
“Ini penting supaya tiada ‘lorong tikus’ dalam fasiliti kita,” katanya dalam sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Langkah itu diambil selepas beberapa siri perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), ekoran peningkatan kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.

Menurut Hannah, antara lokasi yang tertakluk kepada SOP baharu ini ialah Perbadanan Stadium Malaysia di Bukit Jalil dan Litar Antarabangsa Sepang.
Kedua-dua fasiliti berkenaan akan berkongsi jadual konsert mereka setiap bulan dengan pihak berkuasa seperti polis, KKM dan AADK.
Syarat lain yang diumumkan termasuk penyediaan hydration point untuk mengelak dehidrasi, pasukan perubatan semasa konsert serta hospital yang bersedia menerima mangsa jika berlaku kecemasan.
Mesej kesedaran mengenai bahaya dadah juga akan disampaikan melalui treler, poster dan video termasuk oleh artis-artis sendiri sebelum konsert bermula.
Sebagai langkah tambahan, booth safe space akan disediakan oleh Majlis AIDS Malaysia semasa konsert dijalankan untuk memberi ruang kepada belia yang ingin mendapatkan maklumat atau bantuan berkaitan dadah tanpa perlu takut berurusan dengan pihak berkuasa.
“Kadang-kadang kalau belia nampak polis, mereka mungkin takut nak tanya. Tapi kalau mereka pergi ke reruai Majlis AIDS, mereka boleh dapatkan maklumat dengan selamat,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran bentuk dadah masa kini semakin sukar dikesan kerana hadir dalam pelbagai bentuk seperti gula-gula atau minuman bukan lagi dalam bentuk jarum atau pil seperti sebelum ini.
“Kita sudah ada kes kematian di mana ada yang cuba sebab ikut kawan. Tapi tubuh mereka mungkin tak boleh terima. Jangan cuba kalau tak tahu kandungannya,” tegasnya.
Kementerian juga sedang memperkukuh usaha melalui kempen media sosial, video pendek di skrin besar dan iklan YouTube yang menyasarkan belia berusia 15 hingga 39 tahun iaitu golongan paling ramai terlibat dalam penyalahgunaan dadah mengikut statistik AADK.
Bagi menyokong usaha yang sama, KBS akan memperluaskan Program Rakan Muda, mewujudkan Kem Belia @ Rakan Prihatin dan kumpulan sokongan Peer Support Group, termasuk melibatkan bekas penagih yang sedang menjalani pemulihan sebagai rakan kongsi kesedaran.
Orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan boleh menghubungi AADK melalui talian 1-800-22-2235 atau WhatsApp ke 019-626-2233. – MalaysiaGazette