KUALA LUMPUR – Catatan seorang bapa, Ng Chee Kean berkenaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah anaknya menarik perhatian netizen dan tular di media sosial hari ini.
Menggelarkan dua anaknya sebagai Upin dan Ipin, Chee Kean berkata, dia telah meletakkan beberapa syarat buat anaknya itu susulan langkah Kementerian Pendidikan (KPM) mensyaratkan pemakaian lencana Jalur Gemilang tersebut.
Antaranya, kata Chee Kean, anak-anaknya itu kini tidak lagi boleh membiarkan pakaian seragam sekolah mereka kotor, jatuh ke lantai atau dibuang merata-rata disebabkan adanya Jalur Gemilang.
Malah, katanya, keutamaan berbahasa anak-anaknya itu juga kini adalah bahasa Melayu, dan mereka wajib menggunakan bahasa tersebut termasuk apabila bersama rakan-rakan atau ketika bertemu petugas di sekolah yang berbangsa Cina.
“Bahasa Melayu awak perlu bertambah baik. Merosot atau tidak bertambah baik, saya akan keluarkan lencana.
“Nanti cikgu awak mungkin tanya Horace n Howie mana lencana awak? Awak boleh jawab Papa pegang.
“Dia akan tanya kenapa dia pegang? Awak jawab pada cikgu sbb (sebab) Bahasa Malaysia saya kurang baik.
“Saya boleh jumpa Guru Besar sekolah jika perlu.
“So (Jadi) pastikan syarat2 dipegang dan dilaksanakan.
“Bukan sekadar pakai lencana shj (sahaja). Perlu tahu hikmah dan tanggungjawabnya sebagai seorang murid di Sekolah Kebangsaan,” tulisnya menerusi catatan di laman sosial Facebooknya hari ini.
Catatan Chee Kean itu mendapat pujian dan sanjungan netizen yang menyifatkannya seorang warga Malaysia yang memahami makna sebenar patriotisme dan kecintaan kepada negara.
Malah, ada yang menganggap Chee Kean memberi harapan bahawa Malaysia masih mempunyai harapan ke arah masa depan yang makmur dan harmoni.
Dalam tempoh hanya kira-kira dua jam catatan itu disiarkan Ng Chee Kean menerusi Facebooknya, ia mendapat lebih 1,800 tanda suka, lebih 170 reaksi serta dikongsi lebih 400 pengguna Facebook lain.
Bermula hari ini, seramai 5.3 juta pelajar di bawah KPM mula memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah masing-masing dengan pelancarannya dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini.
Ia susulan pengumuman KPM sebelum ini berkenaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar yang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu.
Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, langkah berkenaan melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia, dengan tujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik. – MalaysiaGazette