KUALA LUMPUR – Ibadah haji kali pertama adalah wajib dan seseorang tidak boleh menangguhkan untuk melaksanakannya jika tidak mempunyai alasan yang kukuh.
Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, seseorang yang kali pertama mahu mengerjakan haji perlu mengutamakan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
“Kalau haji wajib itu kalau dia tak pergi, ada masalah pula. Pelaksanaannya perlu lebih diutamakan. Kalau kita tak pergi mengerjakan haji mungkin ada masalah nanti nak pergi lagi atau ada masalah kesihatan kemudian hari.
Kalau dia tak pergi menyebabkan masalah dia nak pergi masa lain, wajib sepertilah kerana dia menunaikan rukun Islam kelima. Kita sebenarnya dalam Islam ni, dia ada yang wajib, ada yang sunat. Kena dulukan yang wajib,” jelas beliau.
Sementara itu, Asmadi menjelaskan, seseorang boleh menangguhkan untuk melaksanakan ibadah terbabit bagi kali kedua dan seterusnya jika tindakan itu dilakukan demi kepentingan agama Islam.
Langkah tersebut boleh dilakukan termasuk dalam tempoh pilihan raya bagi memastikan calon beragama Islam menang sekali gus menjadi pemimpin dan mentadbir negara.
“Mana hal berkaitan dengan politik ini, adakah maksudnya kita nak membantu Islam? Bantu agama? Kalau politik ke arah itu lebih baiklah.
“Waktu pilihan raya itu memanglah kalau pilihan raya perlu, itu kita hak kita untuk menentukan negara dipimpin oleh umat Islam.
“Bila umat Islam menang, calon Islam menang, dia akan membantu agama Islam, orang Islam. Maka itu lebih utama daripada kita pergi haji yang sunat,” terangnya.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam agar mengutamakan kemenangan dalam landskap politik negara, termasuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji ke Mekah.
Presiden Pas itu mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Abdul Hadi mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.- MalaysiaGazette