Ahmad Yahaya.

KUALA LUMPUR – Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) menyifatkan penekanan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kepentingan penyertaan umat Islam dalam sistem pilihan raya berbanding urusan haji dan umrah adalah sesuatu yang sangat jelas.

Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, teguran sama pernah dibuat oleh Almarhum Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya, Fiqh Awlawiyyat mengenai individu yang menunaikan umrah sehingga mengenepikan keperluan berjihad dengan harta atas jalan ilmu dan sebagainya.

Jelas beliau, fokus dalam isu itu bukan terhadap ibadah umrah dan haji atau apa jua ibadah khusus yang lain, tetapi terarah kepada menilai keutamaan-keutamaan yang ada dalam agama.

“Penyertaan dalam pilihanraya dan turun menunaikan kewajipan mengundi adalah bagi memenuhi kemaslahatan awam.

“Ia adalah soal tanggungjawab politik Islam untuk mengangkat seorang pemimpin yang akan membawa suara rakyat ke tengah selain mempertahankan agama di medan pentadbiran tertinggi di peringkat negeri.

“Dan bukankah realiti yang sudah terbentang di depan mata kita apabila kesalahan dalam satu saat kita memangkah di atas kertas undi, kita sedang merana dengan satu demi satu ketempangan polisi Kerajaan?

“Bagaimanakah semua ini tidak penting sedangkan ia adalah antara kewajipan yang utama dalam Islam?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook, hari ini.

Tambah Ahmad, pihak musuh politik kini sedang memberikan helah terhadap kenyataan Abdul Hadi itu disebabkan kehilangan hujah untuk mempertahankan pakatan songsang UMNO dan DAP ketika ini.

“Seluruh pengundi DUN Ayer Kuning memahami tanggungjawab mengundi kali ini untuk memberikan signal kepada ketempangan dasar Kerajaan Negeri (Perak) mahupun Persekutuan,” katanya.

Abdul Hadi mencetuskan kontroversi selepas dilaporkan media memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Ahli Parlimen Marang itu ketika berucap pada kempen sempena Pililhan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here