KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) digesa menjelaskan penilaian tanah di Kampung Sungai Baru dibuat pada kadar yang rendah, iaitu RM450 sekaki persegi.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, kawasan tersebut dikategorikan sebagai tanah lapisan pertama yang sepatutnya mempunyai nilai lebih tinggi.
“Jadi saya nak cabar Menteri Wilayah, saya minta maaf (kerana cabaran ini) dan khususnya JPPH, kenapa penilaian Kampung Sungai Baru yang mana penilaian mereka mempengaruhi keputusan mahkamah, begitu rendah berbanding penilaian oleh mereka terhadaap tanah Lembaga Pentadbiran MAS (Kawasan Penempatan Pertanian Melayu – Malay Agricultural Settlement) semasa saya Menteri Wilayah?
“Sewaktu saya jadi Menteri Wilayah penilaian diberikan JPPH bagi Tanah Mas yang penuh sekatan adalah RM650 hingga RM850 sekaki persegi. Untuk bangunkannya (suatu kawasan) kita dapatkan penilaian bergantung kepada lapisan (di mana kawasan itu). Tapi bagi Kampung Sungai Baru yang merupakan lapisan pertama (patut harga lebih tinggi),” katanya ketika sidang media.
Ujarnya, perkara tersebut sepatutnya dijelaskan secara terperinci khususnya kepada penduduk yang mendakwa mendapat pampasan yang tidak setimpal.
“Ini merupakan satu kecelaruan dan keadaan yang tidak munasabah yang hingga hari ini tidak dijelaskan,” tambahnya.
Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata harga, tanah di kawasan Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang terlibat dengan pembangunan semula sepatutnya dinilai sebanyak RM3,000 bagi setiap kaki persegi, atau sekurang-kurangnya RM32,000 untuk setiap meter persegi.
Menurutnya, nilai tersebut menjadi jaminan untuk penduduk dapat kembali setelah kawasan dibangunkan dan tidak perlu berhijrah ke luar bandar.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuasa hati dengan pampasan yang diperoleh.
Pada Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.
Jelasnya, proses pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) bagi 110 unit yang melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah selesai sepenuhnya pada Ogos 2023.
Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023.
Baru-baru ini dilaporkan, penduduk unit flat yang terlibat dengan APT 1960 menerima notis pengosongan premis berkuatkuasa beberapa hari sebelum Aidilfitri.
Sementara itu, Khalid mengalu-alukan penerangan daripada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung kontroversi tanah itu menerusi sidang media yang dijangka diadakan pada minggu ini.
“Memang sepatutnya daripada awal dia terlibat sebab ini kawasan (Parlimen) dia. Kita nak dapatkan penjelasan daripada dia macam mana perkara ini berlaku dan apa dia telah buat untuk membela mereka-mereka yang teraniaya iaitu yang mendapat pampasan rendah.
“Yang mana setuju dengan pemaju itu hak mereka tapi yang mana tidak setuju, jadi mangsa saya nak tahu apa yang Johari lakukan. Saya menunggu sidang medianya,” katanya.-MalaysiaGazette
















