KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan dalaman menyiasat penglibatan pegawainya yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah pusat hiburan di sini baru-baru ini.
Menurut kenyataan SPRM, siasatan lanjut diserahkan kepada PDRM dan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Sehubungan itu, SPRM juga telah membuka satu kertas siasatan dalaman bagi meneliti secara terperinci penglibatan pegawai tersebut untuk memastikan sama ada berlaku sebarang pelanggaran kod etika perkhidmatan atau undang-undang,” katanya dalam kenyataan yang sama hari ini.
SPRM juga menegaskan tidak akan berkompromi sekiranya mana-mana pegawainya didapati telah melanggar undang-undang atau mencemarkan integriti.
“Tindakan tegas akan diambil berdasarkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti menjadi teras SPRM,” ujarnya. – MalaysiaGazette