KUALA LUMPUR – Kesilapan menerbitkan Jalur Gemilang melibatkan beberapa pihak sehingga mencetuskan kontroversi memperlihatkan kepentingan pemakaian lencana bendera Malaysia seperti yang disyaratkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Bagi pengamal dan pemerhati pendidikan, Hasyrie Rusydi, pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah itu bukan sekadar simbol sokongan atau dekorasi.
Sebaliknya, beliau yang juga aktivis Ikatan Inspirasi Muslim Nasional (IMAN) berkata, ia merupakan satu bentuk latihan harian untuk mendidik rakyat supaya menghormati dan mengingati setiap unsur yang terdapat pada bendera.

“Apabila anak kecil memakai tag bendera di sekolah, apabila penjawat awam menyematnya di dada, dan apabila rakyat meletakkannya di beg atau kenderaan – ia adalah lambang kesatuan hati seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau baru-baru ini.
Bermula hari ini, seramai 5.3 juta pelajar di bawah KPM mula memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah masing-masing dengan pelancarannya dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini.
Ia susulan pengumuman KPM sebelum ini berkenaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar yang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu.
Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, langkah berkenaan melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia, dengan tujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.
Sementara itu, Hasyrie berkata, pemakaian lencana bendera negara juga mengajar generasi muda bahawa Malaysia bukan sekadar nama, tetapi rumah tempat mereka dilahirkan, dibesarkan, dan bakal diwariskan kepada anak dan cucu.
“Bayangkan generasi muda yang setiap hari memandang dan memakai Jalur Gemilang – betapa kuatnya nilai cinta negara yang tertanam dalam diri mereka,” katanya.
Tambah beliau, dalam setiap helaian Jalur Gemilang tersulam harapan, perjuangan dan pengorbanan jutaan rakyat Malaysia.

Katanya, warna merah, putih, biru dan kuning pada bendera Malaysia bukan sekadar corak semata-mata, tetapi simbol kepada jati diri bangsa yang pernah dijajah, bangkit dan kini berdiri megah di pentas dunia.
“Justeru, pelaksanaan pemakaian tag bendera Malaysia sewajarnya diraikan sebagai satu usaha murni dalam menyemai semangat patriotik dan cinta tanah air dalam jiwa rakyat,” katanya.
Ujar beliau, sebagai rakyat Malaysia, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan maruah negara sentiasa terpelihara.
Tambahnya, tidak semua rakyat perlu menjadi wira di medan perang untuk membuktikan cinta kepada tanah air.
Sebaliknya, kata beliau, cukuplah dengan menghayati makna bendera dan menyemai rasa bangga dalam diri kerana daripada kesedaran kecil itulah lahirnya rakyat yang besar jiwanya.
“Selagi Jalur Gemilang berkibar di dada langit, selagi itulah kita akan terus teguh sebagai bangsa merdeka,” katanya. – MalaysiaGazette