KUALA LUMPUR – Penggunaan sistem pengenalan diri atau MyKad bagi penyelarasan subsidi petrol RON95 tidak munasabah.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, ini kerana kaedah tersebut membuka peluang kepada perbuatan tidak bertanggungjawab iaitu menyewa atau meminjamkan MyKad kepada individu yang ingin mendapatkan harga petrol pada kadar subsidi.
Sebaliknya menurut bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu, cara lebih efisyen adalah merekodkan pemilik kenderaan sebagai golongan T15 di dalam sistem, yang mana ia akan memudahkan stesen minyak menetapkan harga mengikut yang ditetapkan.
“Kalau masih nak gunakan Kad Pengenalan harap kerajaan jelaskan, respon mengapa pilih pendekatan guna kad MyKad sedangkan kita tahu ia akan timbulkan macam-macam masalah termasuklah pinjamkan (sewakan) MyKad.
“Sehingga orang boleh sewakan MyKad untuk isi minyak untuk rekod, lepas tu (barulah) buat system sistem CCTV (Kamera Litar Tertutup) dan pelbagailah, itu pendekatan tidak wajar.
“Lebih baik rekod pemilik kenderaan T15 dimasukkan dalam sistem setiap kali datang isi minyak maka dikenakan kadar tanpa subsidi,” katanya pada sidang media di Kampung Baru, di sini, hari ini.
Terdahulu, Khalid berkata, beliau dihubungi oleh seorang individu yang mendakwa pernah membuat pembentangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung kaedah pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95.
Memperkenalkan kaedah rekod pemilik kenderaan, namun katanya individu itu mendakwa sehingga ini tiada maklum balas lanjut daripada MOF.
“Saya telah dihubungi oleh satu pihak yang mana dia mengatakan dia telah buat satu pembentangan kepada pihak Kementerian Kewangan kepada pasukan yang diketakan sebagai Fuel Subsidy Rationalization Team daripada kementerian itu pada Februari atau Mac 2024.
“Tapi selepas itu tidak ada (apa-apa) respon. Sistemnya menggunakan bukan berdasarkan Kad Pengenalan tetapi kenderaan.
“Melalui sistem yang dicadangkan syarikat ini iaitu jenis kereta, maka kenderaan begini tidak dikenakan subsidi. Jadi saya merasakan cadangan ini lebih munasabah memandangkan telah dibentangkan kepada pasukan subsidi MOF sepatutnya ini dipertimbangkan,” jelasnya.
Pada Mac lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi melaksanakan penyelarasan subsidi minyak petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini.
Menurut beliau, pelaksanaannya bakal menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. – MalaysiaGazette