Penyanyi, Datuk Nora, bercakap pada media selepas keluar mahkamah berikutan sebutan permohonan penceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 21 APRIL 2025.

SHAH ALAM – Penyanyi terkenal Datuk Nora Ariffin berkata, keputusannya untuk bercerai dengan suaminya, Dr. Rushdie tidak boleh dielakkan lagi berikutan gangguan pihak ketiga yang berterusan mengganggu kestabilan rumah tangganya.

“Perceraian ini tak boleh dielakkan lagi disebabkan ada usul-usul pihak ketiga. Siapa pihak ketiga tu, wallahualam.

“Mungkin media boleh tengok apa yang berlakukan,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Mahkamah Syariah Petaling, di sini, hari ini.

Meskipun begitu Nora mengakui keputusan yang diambil ini cukup berat untuk dilalui.

“Kalau tanya secara jujur, memang tak sangguplahkan. Siapa berkahwin untuk bercerai kan? Tapi saya berserahlah.

“Saya buat apa yang sepatutnya. Selebihnya saya serah kepada Allah,” katanya sebak.

Nora berkahwin dengan Dr. Rushdie sejak 2017, mengakui perkahwinan mereka pada awalnya bahagia dan harmoni, namun berdepan cabaran besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili beliau, Sara Mohd Ali berkata, pihaknya tidak boleh memberikan penjelasan secara terang-terangan kerana bimbang akan menjejaskan kestabilan mental dan fizik anak guamnya.

Nora berkata, anak-anaknya memahami keadaan yang berlaku dan memilih untuk tidak campur tangan dalam urusan ibu bapa mereka.

“Anak-anak saya, Alhamdulillah, seorang pun tak nak campur. Bagi mereka, itu adalah urusan mak ayah mereka,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada beliau dan suami masih tinggal sebumbung, Nora cuba mengelak daripada memberikan jawapan terus namun mengakui mereka tidak lagi berhubung secara peribadi.

“Sekarang ni Alhamdulillah, saya dengan dia memang tak berhubung. Tapi dia faham situasi, apa yang terjadi dan tidak ada permusuhanlah

“Kali terakhir kami berjumpa adalah pada waktu Aidilfitri dan ketika itu kami masih lagi menziarahi rumah kenalan bersama-sama,” ujarnya ringkas.

Dalam pada itu, Nora berharap agar media dan masyarakat menghormati ruang peribadinya, dan tidak membuat spekulasi berlebihan memandangkan beberapa perkara masih tertakluk kepada perbicaraan di mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here