PETALING JAYA – Sehelai daun pokok pulai ditemui tersekat dalam saluran bronkus (saluran udara yang menghubungkan trakea ke paru-paru) mayat Zayn Rayyan Abdul Matin, menurut keterangan seorang pegawai polis kanan yang tampil sebagai saksi ke-28 dalam perbicaraan kes kematian tragis kanak-kanak autistik itu.
Saksi itu, ASP Mohd Hafizee Ismail yang kini berjawatan pegawai risikan operasi berkata, penemuan tersebut dimaklumkan kepadanya pada 8 Disember 2023 selepas objek itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
“Saya menerima laporan awal daripada ahli kimia yang mengesahkan objek asing dalam bronkus si mati adalah daun pokok pulai.
“Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat pokok pulai tumbuh berhampiran lokasi penemuan mayat, kira-kira 10 meter dari situ,” katanya pada prosiding hari ini sambil diperhatikan kedua-dua tertuduh iaitu ibu bapa kepada kanak-kanak itu dari kandang tertuduh.
Kedua-dua mereka juga kelihatan tenang dan sesekali menundukkan kepala serta mengesat air mata.
Dalam keterangan lebih lanjut, ASP Hafizee memaklumkan beliau menghadiri bedah siasat pada 7 Disember 2023 di Hospital Sungai Buloh selepas dimaklumkan tentang kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.
Menurutnya, antara kecederaan yang dilihat ialah telinga kiri si mati dalam keadaan terkulai, kesan toreh pada lengan kanan, dan koyakan pada dubur yang dipercayai akibat objek tumpul.
Mangsa turut lebam di dahi, leher, dada, rahang dan beberapa anggota badan lain.
“Punca kematian disahkan oleh pakar forensik, Dr Siti Rohayu sebagai ‘ligature strangulation’ iaitu jerutan menggunakan objek.
“Susulan itu, saya membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mengetuai pemeriksaan di rumah keluarga si mati di Apartment Idaman, Damansara Damai,” ujarnya.
Kata beliau lagi, semasa pemeriksaan, sepasang kasut sekolah berwarna hitam yang dipenuhi kesan lumpur ditemui di dalam bilik pertama berhampiran peti ais.
Selain itu, barang-barang lain termasuk stokin, lampin dan sampel tanah turut dirampas untuk dihantar ke Jabatan Kimia.
Hafizee turut memaklumkan Unit K9 PDRM dikerahkan untuk penjejakan berdasarkan baju milik Zayn Rayyan, namun operasi sejauh 500 meter dari kawasan tangga hingga ke anak sungai tidak menemui sebarang kesan yang signifikan.
Beliau juga mendedahkan, calitan DNA yang diambil dari dubur mangsa hanya padan dengan DNA Zayn Rayyan sendiri dan tiada DNA asing dijumpai.
Saksi turut menerima dan menyemak beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pihak pengurusan apartment yang merakamkan kelibat seorang kanak-kanak memakai baju putih pada 5 Disember 2023 iaitu hari Zayn Rayyan dilaporkan hilang.
CCTV menunjukkan kanak-kanak itu berjalan di saluran air dan berpatah balik keluar dari terowong.
Tambah beliau lagi, pelbagai item termasuk pendrive mengandungi rakaman CCTV, bulu kucing, pakaian dan telefon bimbit milik tertuduh turut dihantar untuk analisa forensik.
Katanya, sampel bulu kucing yang dianalisis tidak sepadan dengan yang ditemui pada pakaian si mati.
Dalam pada itu, beberapa sesi lakonan semula turut dilakukan, termasuk oleh tertuduh wanita, Ismanira Abdul Manaf, di lokasi sekitar Apartment Idaman dan rumah lain yang dikaitkan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung petang ini.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada 5 Disember 2023.
Pertuduhan jika sabit salah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – MalaysiaGazette