KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang telah bekerjasama dengan tiga syarikat berkaitan kerajaan negeri untuk memperluas sektor penanaman padi bagi menampung permintaan beras putih tempatan (BPT) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu diambil bagi memenuhi keperluan penduduk Pahang, sekali gus mengurangkan kebergantungan untuk mengimport bekalan tersebut.
“Antara yang telah dilaksanakan iaitu penglibatan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) di Merchong (525 hektar), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri (PKPP) di Rompin (1,214 hektar), dan terkini penglibatan Yayasan Pahang di Ganchong melibatkan kawasan 202 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah jawapan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) terhadap soalan tambahan diajukan Datuk Andansura Rabu (Pas- Beserah) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Andansura mahu kerajaan negeri menyatakan inisiatif yang diambil untuk menyelesaikan isu kekurangan bekalan BPT memandangkan terdapat pengurangan peruntukan daripada Belanjawan Pahang 2025 bagi pertanian, industri dan asas tani iaitu RM36.78 juta berbanding RM58.93 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut Wan Rosdy, pengeluaran BPT di seluruh negara adalah sebanyak 60 peratus.
“Sebab itu kita perlu import sebab memang tak cukup. Ini kerana antara negeri yang paling banyak sawah padi telah mengecil iaitu di negeri Kedah sebab terdapat projek perumahan.
“Disebabkan itu, penanaman padi semakin berkurang dan kita terpaksa import lebih banyak bekalan,” katanya.
Sementara itu, Chon Siang berkata, jumlah agihan yang diterima oleh negeri Pahang untuk bekalan BPT pada tahun lalu adalah sebanyak 206,388 kampit beras 10 kilogram (kg) di outlet pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) seperti Agrobazaar, pasar tani kekal dan pasar tani.
Selain agihan ke outlet pemasaran, FAMA dan LPP turut mengadakan jualan terus kepada pengguna melalui Jualan Agro Madani yang dianjurkan di lokasi terpilih seluruh Negeri Pahang.
Selain FAMA dan LPP, syarikat pemborong beras seperti Jasmine, OEL dan Serba Wangi PH turut mengagihkan BPT ke pasar raya terpilih tetapi agihan itu mengikut stok bekalan yang terhad dan tidak dapat memenuhi permintaan pengguna. – MalaysiaGazette