Aliran trafik menghala ke Pantai Timur melalui Lebuhraya KL Karak kelihatan sesak berikutan orang ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidiladha. Foto SADIQ SANI, 15 JUN 2024

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang akan pertimbang mencadangkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)  pembinaan penghadang jalan yang lebih tinggi di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dalam usaha meningkatkan keselamatan pengguna.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama LLM untuk kajian lanjut.

“Kita dah ambil perhatian dan meminta pihak LLM untuk pertimbangkan. Kalau perlu, kita akan meminta pihak LLM membina pembahagi lebih tinggi,” katanya.

Razali berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, Datuk Wong Tat Chee pada Sidang DUN Pahang, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir Razali Kassim
Sumber Pahang Media

Tat Chee berkata, cadangan itu bagi mengurangkan impak kemalangan kepada pengguna.

Beliau turut memetik kemalangan membabitkan tiga kematian yang berlaku di Kilometer 50.7 LPT arah Kuantan berhampiran Kampung Lentang, Bentong pada 30 Mac lalu.

Dalam pada itu, menjawab soalan Datuk Abd Aziz Mat Kiram (BN-Batu Talam) mengenai jumlah kemalangan dan kematian di LPT sejak ia mula beroperasi, Razali memaklumkan sebanyak 35,551 kes kemalangan direkodkan dengan 730 kes melibatkan kematian sejak lebuh raya itu dibuka pada tahun 2004 sehingga Disember tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, tiada lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan di LPT1, namun terdapat beberapa lokasi yang dikenal pasti sering berlakunya insiden tersebut.

“Antara lokasi yang dikenal pasti ialah di Kilometer 238.7 (arah barat) dan Kilometer 87 (arah barat),” katanya.

Menurut beliau, beberapa langkah penambahbaikan sedang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan di sepanjang laluan lebuh raya berkenaan.

“Langkah yang diambil termasuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here