IPOH – Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) sedang giat mengumpul beberapa pakaian penyanyi lagenda negara, Allahyarham Datuk M Daud Kilau untuk dimasukkan dalam laman sesawang Arkib Muzik Perak.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, laman sesawang ini dilaksanakan bagi menjadi sumber rujukan kepada peminat seni dan budaya.
Menurutnya, majlis pelancaran laman sesawang itu dijangka berlangsung pada Julai ini.
“Arkib Muzik Perak ditubuhkan melalui PORT (Kampung Karyawan Amanjaya) sejak tahun 2022 dan proses pendigitalan sekitar 2,000 bahan termasuk beberapa pakaian Allahyarham Dato M Daud Kilau, sedang giat dijalankan.
“Kita berharap, laman sesawang ini akan menjadi sumber rujukan berguna kepada ramai pihak, khususnya para pengkaji budaya, pelajar seni dan orang ramai yang berminat,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Daruk Ridzuan, pada Isnin.
Dalam pada itu, Khairudin berkata, PORT antara penyumbang data, maklumat dan program yang membantu dalam pengiktirafan bandar raya Ipoh sebagai Bandar Kreatif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam kategori muzik pada 2023.
“Beberapa peluang jemputan untuk mempromosikan bakat negeri telah diambil, seperti baru-baru ini, PORT telah menampilkan pemuzik tradisional di Ambonia Music Fest, di Ambon, Indonesia dan Suphanburi Cultural Festival di Suphanburi, Thailand,“ ujarnya. – MalaysiaGazette