Fahmi (kanan) mengadakan lawatan kerja di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Taman Sri Skudai, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Proses menahan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar berbahasa Cina itu dibuat berlandaskan undang-undang.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, polis mempunyai kuasa mengikut undang-undang dan seterusnya menjalankan siasatan berhubung isu yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Siasatan terhadap isu ini dijalankan dari tiga sudut berbeza yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kesalahan pertama dikesan melalui edisi cetakan Sin Chew, maka siasatan awal dilakukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang dikuatkuasakan oleh KDN.

“Siasatan turut dijalankan bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta beberapa akta lain yang terletak di bawah bidang kuasa PDRM,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Taman Sri Skudai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan, Aznan Tamin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.

Fahmi mengulas dakwaan Presiden Interim Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy yang kesal dengan tindakan pihak polis menahan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily bagi membantu siasatan berhubung isu itu.

Memetik laporan sebuah portal, Ramasamy menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan dan memalukan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sebarang penahanan bagi membantu siasatan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, penglibatan MCMC dalam siasatan juga dianggap relevan memandangkan Sin Chew turut menerbitkan kandungan melalui platform digital seperti e-paper.

“Dalam isu ini, dua kementerian dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan.

“Keputusan akhir akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan tindakan lanjut sama ada pendakwaan di mahkamah atau langkah lain,” jelasnya.

Selasa lalu, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera terbabit tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here