KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyokong penuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung keperluan penyelarasan sistem kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang akan bermula Januari 2026.
Cadangan itu, menurut Datuk Seri Norliza Abul Rahim merupakan langkah bijak dan berpandangan jauh dalam memastikan sistem pendidikan berasrama yang sedia ada berfungsi secara lebih efisien serta memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar — khususnya mereka yang benar-benar berminat dan berpotensi dalam jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Penyelarasan ini akan mengurangkan pertindihan tawaran serta mengelakkan situasi di mana tempat yang telah diperuntukkan kepada pelajar di MRSM terbiar kosong apabila mereka beralih ke SBP dalam pengambilan seterusnya.
“Keadaan ini amat merugikan kerana ramai lagi pelajar dalam senarai menunggu yang sanggup menerima tawaran, namun tidak berpeluang berbuat demikian disebabkan sistem sedia ada yang tidak membenarkan pengisian semula kekosongan selepas tarikh akhir ditetapkan.
“Saya percaya, dengan adanya sistem penyelarasan yang lebih mantap, institusi pendidikan seperti MRSM dan SBP dapat merancang pengambilan pelajar dengan lebih tersusun dan tepat,” katanya dalam kenyataan.
Secara langsung, menurut Norliza, akan membantu negara mencapai sasaran 70% kemasukan pelajar dalam bidang STEM, sebagaimana yang digariskan oleh YAB Perdana Menteri demi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.
Usaha kerajaan ini merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara demi masa depan anak-anak kita dan kesejahteraan generasi akan dating, katanya yang juga Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO. – MalaysiaGazette