KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa dukacita atas kematian pemimpin utama gereja Roman Katolik Pope Francis.
Menurut, Anwar, mendiang akan diingati bukan sahaja sebagai pope pertama dari Global South tetapi sebagai suara moral belas kasihan, kerendahan hati dan keadilan dalam dunia yang bergolak.
Komitmen Francis terhadap persefahaman antara agama, penjagaan alam sekitar dan maruah golongan terpinggir bergema jauh di luar Gereja Katolik termasuk menggesa keamanan di Gaza.
“Pope Francis adalah penyokong yang teguh untuk keamanan, dan usahanya untuk membina jambatan merentasi agama dan budaya mendapat penghormatan ramai, termasuk di dunia Islam.
“Pope Francis bercakap dengan moral yang jelas mengenai penderitaan yang teruk di Gaza, mengingatkan dunia bahawa kita mesti menunjukkan belas kasihan yang sama kepada semua mangsa keganasan, di mana sahaja mereka berada,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Anwar, Francis memperjuangkan maruah pendatang dan pelarian, menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak balas terhadap nasib mereka dengan kemanusiaan dan hati nurani.
“Secara peribadi, saya mendapat penghormatan untuk melawat Pope Francis semasa awalnya di Vatican. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada pihak Holy See kepada penganut Katolik di seluruh dunia termasuk khususnya kepada masyarakat Katolik di Malaysia. Semoga legasi beliau berkekalan,” katanya.
Gereja Roman Katolik mengesahkan bahawa Pope Francis, 88, meninggal dunia di Vatican City kira-kira pukul 7.35 pagi waktu tempatan.
Pengumuman dibuat Pegawai kanan Gereja Katolik, Kardinal Kevin Farrell menerusi saluran TV Vatican.- MalaysiaGazette