KUALA LUMPUR – Gelombang kekalahan kem’ Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli, nampaknya berterusan apabila beberapa nama besar dalam pasukan beliau tumbang dalam pemilihan peringkat cabang PKR di Johor dan Sabah hari ini.
Media melaporkan di Johor, antara yang kecundang termasuk Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran.
Akmal untuk makluman awal-awal lagi sudah memuat naik undian tidak rasmi sebanyak 949 sebagai keputusan tidak rasmi namun apabila diumumkan, beliau hanya mendapat 587 undi manakala ‘anak didiknya’ Mohamad Taufiq Ismail pula mendapat 709 undi.
Yuneswaran yang dicabar oleh Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse turut kecundang dikalahkan Prakash Maniam, seorang ahli biasa dalam parti tanpa jawatan penting.
Menurut sumber tertinggi parti yang enggan dikenali, kekalahan demi kekalahan ini menunjukan pengaruh Rafizi yang juga merupakan Menteri Ekonomi dan Ketua Cabang Pandan itu semakin berkurangan.
“Ramai dalam kalangan akar umbi sendiri tidak gembira dan berpuas hati atas pelbagai sebab. Ini juga mungkin punca bagaimana nama-nama besar itu sendiri boleh kalah dengan pencabar yang ‘biasa-biasa.
“Kekalahan mereka menambah lagi senarai tokoh-tokoh utama yang gagal mempertahankan pengaruh di kubu masing-masing,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Di Sabah pula, Menteri Pelancongan negeri yang juga Adun Api-Api, Datuk Seri Christina Liew turut tewas dalam perebutan jawatan di Cabang Kota Kinabalu manakala bekas Pegawai Khas beliau Raymond Ahuar tewas di Pensiangan.
Ini juga sudah memberi gambaran kepada ‘hala tuju’ Christina Liew pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun ini.
“Senario ini menguatkan lagi desas-desus bahawa pengaruh Rafizi dalam parti semakin goyah, malah seolah-olah ditolak secara senyap oleh akar umbi di beberapa negeri.
“Mungkin akan ada lebih ‘kejutan’ pada pemilihan pusat nanti, kita tunggu,” ujarnya. -MalaysiaGazette
Akmal Nasir tersungkur kepada anak didiknya, hanya raih 587 undi
Ya Allah Kau laknatilah pemimpin2 yang kuat berbohong, menipu menifesto!