JOHOR BAHRU – Jika ada rombakan Kabinet, ia hanya akan diketahui selepas Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Peringkat Pusat 2025 selesai pada 24 Mei ini.
Bagaimanapun, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan tersebut tertakluk bawah kuasa prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepenuhnya.
“Mungkin selepas daripada itu (pemilihan Pusat PKR), kita akan tahu dengan lebih jelas laluan ke depan (sama ada rombakan Kabinet perlu dilakukan),” katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Sri Skudai hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.
Terdahulu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR mengulas mengenai sama ada rombakan Kabinet akan dilakukan susulan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat cabang mencatatkan kejutan apabila beberapa ‘nama besar’ serta berjawatan dalam kerajaan yang bertanding disahkan tewas mengejut.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, turun naiknya seseorang dalam politik terutama di peringkat cabang adalah perkara yang biasa serta menjadi kelaziman.
“Semestinya ramai bertanya, apa seterusnya selepas ini (apabila tewas di cabang). Jika kita lihat dalam PKR sebelum ini, dia bukan straight forward. Contoh calon bagi Parlimen Wangsa Maju adalah Ketua Cabang Titiwangsa, tidak semestinya perlu jadi ketua cabang di situ maka dia akan jadi calon pilihan raya.
“Namun untuk jawatan politik, PKR masih belum selesai. Pertamanya, kita masih ada pemilihan peringkat pusat dengan PKR tidak melarang mana-mana anggota parti terbabit dalam pemilihan Pusat walaupun mereka tidak memegang jawatan di peringkat cabang,” katanya.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, terdapat situasi dalam PKR, pemimpin yang tidak berjaya atau tidak bertanding di peringkat cabang namun berjaya dipilih peringkat pusat.
“Jadi prosesnya (pemilihan) masih berjalan. Pencalonan peringkat pusat berlangsung 3 dan 4 Mei nanti manakala pemilihan secara fizikal oleh perwakilan yang datang ke Kongres PKR akan berlangsung 24 Mei nanti,” katanya.- MalaysiaGazette