KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan hari ini menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon semua jabatan dan agensi kerajaan menghentikan penggunaan istilah ‘kuil haram’ apabila merujuk kepada rumah ibadat Hindu.
Menurut Saravanan, penggunaan istilah tersebut adalah sensitif dan menyinggung perasaan masyarakat Hindu yang amat menghormati tempat ibadat mereka yang kebanyakannya telah wujud sejak zaman penjajahan British dan Jepun sebelum termaktubnya Kanun Tanah Negara pada tahun 1965.
“Pada ketika itu, rumah ibadat dibina oleh para pekerja berhampiran tempat kerja mereka dan kebanyakannya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa ketika itu sebelum didirikan.
“Menggelar rumah ibadat tersebut sebagai ‘kuil haram’ adalah tindakan tidak wajar dan langsung tidak menghormati nilai sejarah dan budaya masyarakat India di negara ini
“Saya telah membuat rayuan kepada Perdana Menteri supaya mengarahkan semua agensi dan jabatan kerajaan untuk tidak lagi menggunakan istilah ‘kuil haram’ terhadap rumah-rumah ibadat ini,” katanya.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah turut melampirkan salinan surat daripada Hospital Taiping yang menggunakan istilah sama dalam maklum balas kepada satu aduan.
“Sikap sambil lewa dan penggunaan istilah yang menghina ini perlu dihentikan segera kerana ia mencerminkan kepekaan yang rendah terhadap agama dan warisan masyarakat Hindu,” katanya. – MalaysiaGazette