JOHOR BAHRU – Sembilan remaja bawah umur antara 23 lelaki yang ditahan dalam Op Motosikal yang diadakan serentak di seluruh negeri bermula Khamis lalu hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mereka yang ditahan adalah warga tempatan berusia antara 15 hingga 25 tahun.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Selain itu sebanyak 203 motosikal disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut. Sebanyak 180 buah motosikal pula disita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 atas pelbagai kesalahan.
“Antaranya tiada lesen memandu serta kesalahan nombor pendaftaran dan ekzos tidak mengikut spesifikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumar, dalam operasi yang sama, sejumlah 989 saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi adalah saman yang tertinggi iaitu sebanyak 212 saman.
Katanya, saman kedua tinggi adalah bagi kesalahan tiada lesen memandu iaitu sebanyak 196 saman.
Beliau berkata, statistik yang direkodkan menunjukkan terdapat segelintir masyarakat yang masih tegar dan tidak serik untuk mencabar undang-undang sedia ada.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor memandang serius gejala samseng jalanan terutamanya dalam kalangan golongan remaja bermotosikal, ujarnya.
“Kita akan terus mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan,” katanya.- MalaysiaGazette