KUALA LUMPUR – Simpan dadah dalam almari berkunci.
Itu taktik digunakan seorang pengedar dadah yang aktif mengedar barang terlarang itu di sebuah pusat hiburan di Kepong Barudi sini bagi mengaburi pihak berkuasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun telah ditahan dalam serbuan dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur pada 18 April lalu.
“Suspek dipercayai mula mengedarkan dadah sejak sebulan lalu dan menyembunyikan bekalan tersebut ke dalam almari premis berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media hari ini.
Polis telah merampas serbuk MDMA seberat 3.5 kg, 123 gram rokok ganja (112 batang), pil Erimin 5 (20 gram), ketamin (12 gram) dan pil ekstasi (11 gram), dengan nilai pasaran dianggarkan RM40,000.

Selain itu polis turut menyita wang tunai sebanyak RM15,894 serta barang kemas dengan nilai keseluruhan sitaan mencecah RM32,800.
Rusdi memaklumkan, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan, tiga wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Vietnam berusia antara 26 hingga 44 tahun di sebuah bilik di premis sama pada pukul 1.30 pagi hari yang sama.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuaan sebuah beg kertas berisi dadah jenis MDMA dianggarkan seberat 350 gram (gm).
“Malah semakan mendapati lima daripada enam suspek itu didapati positif methamphetamine dan ketamin manakala seorang wanita warga Vietnam negatif,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette