KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah jenis ganja termasuk biskut secara atas talian sekitar Lembah Klang berjaya ditumpaskan dengan merampas keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM105,000 pada 16 dan 17 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya turut menahan tujuh individu melibatkan lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia 20 hingga 28 tahun pada pukul 2.20 pagi di dua buah residensi di sekitar Mont Kiara.
Tangkapan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Wang Maju pada pukul 2.20 pagi.
Hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur salah satu residensi di kawasan ini, pasukan serbuan menemui tiga buah beg berisi dadah jenis ganja bernilai 32 kilogram (kg) dan biskut ganja (2 kg).
“Pada 17 April sekitar 2.10 petang, serbuan kedua di sebuah residensi di Jalan Duta telah membawa tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan pemeriksaan di dalam kereta menemui satu kotak berisi biskut ganja (7 kg),” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Rusdi, kesemua dadah itu diimport dari Thailand dan dipasarkan secara atas talian menerusi platform media sosial seperti Instagram kepada pelanggan pada harga bermula RM90.
“Modus operandi sindiket adalah mendapatkan bekalan dadah secara online daripada negara jiran dan mengedarkannya semula kepada pelanggan juga secara atas talian malah mereka telah mula bergiat aktif sejak setahun lalu.
“Semakan mendapati jumlah keseluruhan angaran berat dadah yang dirampas melibatkan ganja mampat dan biskut ganja adalah seberat 41 kg dengan nilai keseluruhan RM105,000,” ujarnya.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas lima suspek didapati positif dadah jenis ganja manakala dua lagi negatif dan semakan lanjut mendapati dua daripada suspek mempunyai jenayah rekod lampau. – MalaysiaGazette
















