Dr Muhamad Akmal difahamkan segera turun menziarahi keluarga berkenaan malam tadi sebelum ‘terkejut’ dengan keadaan mereka.

MERLIMAU – Lima tahun hidup tanpa bekalan air dan hampir dua minggu bergelap kerana tiada elektrik.

Itu keadaan sebuah keluarga India di DUN Merlimau yang hanya diketahui ADUN kawasan itu, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh selepas dimaklumkan oleh jiran sebelah rumah itu.

Dr Muhamad Akmal difahamkan segera turun menziarahi keluarga berkenaan malam tadi sebelum ‘terkejut’ dengan keadaan mereka.

Beliau turut meluahkan rasa kesal kerana tidak mengetahui sebelum ini ada penduduk di kawasannya berdepan masalah sedemikian.

“Ketika rumah saya ada air, ada elektrik, ada makanan, rupanya ada keluarga di dalam kawasan saya yang lima tahun tiada air dan hampir dua minggu bergelap.

“Tidak langsung berada dalam pengetahuan saya sehingga semalam,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Tangkap layar video dimuat naik Dr Akmal.

Difahamkan melalui klip dimuat naik oleh Dr Muhamad Akmal, rumah berkenaan sebelum ini didiami seorang wanita India yang dikenalinya, namun wanita itu sudah meninggal dunia dan anak-anaknya kini tinggal di situ dalam keadaan serba kekurangan.

“Terasa teruk sangat diri ini dan tidak layak langsung diri ini menjadi pemimpin.

“Maafkan diri saya yang hina. Tidak layak saya digelar pemimpin bila begini jadinya,” ujarnya.

Tidak mahu masalah itu berlarutan, Dr Muhamad Akmal terus meminta pihak berwajib membantu menyelesaikan masalah bekalan air keluarga berkenaan.

Beliau turut mengambil keputusan menggunakan wang gajinya sendiri untuk membayar bil elektrik supaya keluarga itu tidak lagi terpaksa bergelap.

Dalam masa sama, Dr Muhamad Akmal meminta salah seorang ahli keluarga itu supaya tidak segan memaklumkan kepadanya sekiranya memerlukan bantuan untuk makanan dan pakaian.

Beliau juga menegur seorang lelaki muda dalam keluarga itu supaya mengambil tanggungjawab menjaga keluarganya selepas dimaklumkan bahawa lelaki berkenaan sudah mendapat pekerjaan.

Nada Dr Muhamad Akmal kedengaran tegas ketika menyampaikan teguran itu, namun pada masa sama jelas menunjukkan beliau mahu lelaki terbabit memainkan peranan membantu keluarganya keluar daripada keadaan daif tersebut.

Bagi Dr Muhamad Akmal, bantuan kepada keluarga berkenaan tidak sepatutnya berhenti setakat menyelesaikan masalah air dan elektrik, sebaliknya ahli keluarga yang masih mampu bekerja perlu berusaha untuk mengubah kehidupan mereka. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here