Setiausaha Wanita Keadilan, Sangetha Jayakumar.

KUALA LUMPUR – Wanita Keadilan mengecam keras tindakan seorang perwakilan UMNO yang didakwa membuat gurauan berunsur penghinaan terhadap seorang paderi Katolik dan biarawati ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Setiausaha Wanita Keadilan, Sangetha Jayakumar berkata, kenyataan itu bukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai tersasul atau gurauan biasa kerana menyentuh perkara sensitif berkaitan agama.

Katanya, tindakan berkenaan bukan sahaja tidak menghormati komuniti Katolik, malah menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat yang menghargai keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Ini bukan tersasul, sebaliknya penghinaan yang disengajakan dan tidak menghormati, sehingga menimbulkan rasa sakit hati dalam kalangan komuniti Katolik serta kemarahan rakyat yang waras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, insiden tersebut turut memperlihatkan masih terdapat kelompok dalam UMNO yang terperangkap dalam politik kaum dan agama sehingga dilihat semakin jauh daripada realiti Malaysia hari ini.

Sangetha berkata, ketika rakyat berdepan cabaran kos sara hidup dan berusaha membina kehidupan lebih baik, tumpuan sepatutnya diberikan kepada isu ekonomi, pembangunan teknologi serta kebajikan sosial, bukannya menjadikan agama sebagai bahan sindiran politik.

“Malaysia mempunyai kepelbagaian yang sepatutnya menjadi kekuatan ekonomi dan sosial negara, bukannya dijadikan bahan untuk meraih keuntungan politik,” ujarnya.

Beliau menegaskan keharmonian antara masyarakat pelbagai agama dan kaum tidak seharusnya dipermainkan hanya kerana mahu mencetuskan gelak ketawa dalam pentas politik.

Katanya, agama dan kepercayaan merupakan perkara yang suci dan sebarang tindakan memperlekehkan tokoh atau simbol agama boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan negara.

Sehubungan itu, Wanita Keadilan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh terhadap insiden berkenaan.

“Penghinaan terhadap mana-mana agama tidak boleh diberikan toleransi dan tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil jika terdapat kesalahan,” katanya.

Dalam masa sama, Sangetha menggesa kepimpinan UMNO mengambil tindakan disiplin terhadap perwakilan terbabit serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada komuniti Kristian.

“Kepimpinan UMNO perlu tampil dan mengambil tindakan. Berdiam diri atau tidak mengambil sebarang tindakan hanya menunjukkan seolah-olah perkara itu dibiarkan,” katanya.

Sangetha berkata, Wanita Keadilan akan terus mempertahankan keharmonian, rasa hormat dan perpaduan yang menjadi asas kehidupan masyarakat Malaysia.

“Sudah tiba masanya politik perkauman dan agama yang toksik ditinggalkan dan tumpuan diberikan kepada usaha membina Malaysia yang lebih maju serta progresif,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here