KUALA LUMPUR – Pemuda AMANAH Nasional menggesa umat Islam di negara ini agar bangkit menolak kenyataan kontroversi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mencadangkan ibadah haji boleh ditangguhkan demi memberi laluan kepada pilihan raya.
Menurut Pengarah Syariah dan Dakwah Pemuda AMANAH, Hafiz Roslan, pandangan tersebut disifatkan sebagai ‘fatwa seleweng’ yang mempermainkan tuntutan agama dan boleh mengelirukan umat Islam.
“Ketika pandemik Covid-19 dahulu, rakyat bangkit menentang sekatan terhadap aktiviti keagamaan kerana dianggap menjejaskan ibadah.
“Namun hari ini dalam keadaan negara aman dan tiada darurat, kenyataan seumpama ini dikeluarkan atas alasan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hafiz berkata, tindakan Abdul Hadi yang memberi keutamaan kepada proses pilihan raya berbanding ibadah haji merupakan satu bentuk penghinaan terhadap kesucian ibadah tersebut.
“Lebih membimbangkan, ada penyokong yang mungkin menerima pandangan ini bulat-bulat tanpa soal, kerana taksub atau kekurangan ilmu agama. Inilah yang perlu dibendung,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak tanpa mengira latar belakang politik, untuk menyatakan pendirian jelas dalam menolak budaya mempermainkan agama demi kepentingan politik.
“Kita mesti hentikan pembohongan atas nama agama. Kita mesti hentikan ahli politik daripada mengeluarkan ‘hukum’ mengikut selera parti.
“Ini bukan lagi soal politik semata-mata tetapi soal mempertahankan kesucian agama,” tegasnya.
Dalam kenyataan sama, Hafiz turut mencadangkan agar Abdul Hadi bersara daripada politik dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang didakwa sering mengelirukan umat Islam.
“Sudah tiba masanya beliau berehat. Islam bukan alat politik dan ibadah bukan urusan parti. Semua kita yang cintakan agama mesti bersuara. Diam bererti bersubahat,” tambahnya. – MalaysiaGazette