KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan Abby Abadi menjelaskan dia sudah berdiam diri selama 17 tahun berhubung isu tuntutan wang nafkah tiga anaknya sejak bercerai dengan bekas suami, Norman Hakim.
Justeru, Abby atau nama penuhnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, mempersoalkan waktu yang sesuai untuk dirinya menyuarakan hal tersebut agar tidak dikecam ramai.
Abbby menegaskan, semua luahan tersebut bukan ingin membuka aib Norman sebaliknya mendapatkan hak yang sepatutnya untuk tiga anaknya hasil perkahwinan mereka iaitu Danish, Dania dan Danisha.
“Selama 17 tahun saya diam, tidak menuntut apa pun dan layan sahaja. Sekali bila bersuara untuk dapatkan serba sedikit hak untuk anak, ada pula suara sumbang yang berkata simpanlah aib!
“Lantang sangat merosakkan dan sebagainya. Entah apa-apa sahaja. Suka nak menilai orang,” ujarnya yang juga bekas penyanyi kumpulan Elite itu.
Lebih memanaskan keadaan, Abby turut mendakwa tiga anaknya tidak diajak untuk bercuti bersama bapa mereka.

Jelasnya, gaya hidup Norman juga dikategorikan sebagai golongan T20 berbanding dirinya yang dikatakan hanya B40 namun menegaskan tidak terbit rasa cemburu dalam hati.
“Sebab saya fikir bila sudah kaya tentu anak-anak dapat menumpang sama tapi nampakkan, anak-anak saya tak ikut pun mereka bercuti.
“Sebelum ini kalau berjalan dan berkumpul memang kami guna konsep kongsi demi anak-anak. Sekarang susah dah nak bercuti sekali sebab mereka sudah tahap T20.
“Saya ini dari kategori B40. Berangan macam T20 tapi sekarang pun tak boleh kejar untuk ke sana sini dan bayar sama-sama. Ajak pun tidak, itu yang sebenarnya.
“Anak-anak tak tahu ‘tong tong’ ke, ‘ting ting’ ke, hanya tahu seronok sahaja,” jelasnya.
Abby turut memaklumkan tidak akan berbaik kembali dengan bekas suaminya, Norman disebabkan sikap lepas tangan lelaki itu.
Dalam masa sama,dia juga meluahkan kekesalan kerana membiarkan anak perempuannya, Marissa Dania lari ke pangkuan Norman setiap kali dimarahi. – MalaysiaGazette