KUALA LUMPUR – Perdebatan mengenai pertembungan ibadat haji dan mengundi pada pilihan raya merupakan isu menyusun tertib keutamaan dalam melaksanakan tuntutan ibadat yang disebut awlawiyyat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, dalam hal itu, setiap keutamaan akan berbeza antara setiap individu dengan situasi yang dihadapi.
Menurut beliau, daripada segi fikah, perkara itu perlu dilihat secara terperinci bagi setiap kes dalam mengatur dan menyusun keutamaan pelaksanaan tuntutan agama yang berbeza antara satu individu dengan individu lain.
“Situasi seperti haji yang wajib atau sunat atau nazar, kesihatan bakal haji, urusan keluarga, kedudukan kewangan semasa, peluang kouta masa hadapan, kewujudan teman dalam perjalanan dan lain-lain situasi yang berkaitan dengannya adalah menjadi perkiraan dalam menyusun keutamaan di atas.
“Dalam menghadapi kehangatan musim pilihan raya, kami nasihatkan agar semua pihak bersifat objektif, profesional dan beretika dalam mengurus segala urusan berkaitan dengannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Luqman berkata, tidak timbul isu pertembungan antara tarikh pengundian dengan tarikh penerbangan haji.
Ini kerana, menurutnya, tarikh pengundian PRK DUN Ayer Kuning adalah ditetapkan pada 26 April dengan pengundian awal berlangsung hari ini manakala penerbangan pertama jemaah haji adalah pada 29 April ini.
“Seseorang itu masih mempunyai kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi (PRK DUN Ayer Kuning) jika dijemput untuk menunaikan ibadah haji,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencetuskan kontroversi selepas dilaporkan media memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Ahli Parlimen Marang itu ketika berucap pada kempen sempena Pililhan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik. – MalaysiaGazette