Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tiba di Bangunan SPRM untuk memberi keterangan di Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyambung rakaman percakapan berhubung penyelesaian harta di bawah Seksyen 36(1), Akta SPRM 2009.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, rakaman percakapan tersebut dijadualkan berlangsung pada Khamis ini.

“Seperti mana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, pemanggilan semula ini adalah berkaitan dengan penyelesaian harta yang telah dibuat oleh beliau kepada pihak kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Seksyen 36 Akta SPRM 2009 memperuntukkan kuasa kepada SPRM untuk mendapatkan maklumat berkaitan pemilikan harta daripada mana-mana individu yang disiasat atau dikaitkan dengan siasatan rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, Azam memberitahu, siasatan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah masih berjalan dan kini menunggu laporan forensik berhubung 10 rakaman video yang telah diterima oleh SPRM.

“Siasatan masih belum selesai, kita sedang membuat penelitian dan forensik ke atas 10 audio berkenaan. Saya jangka tidak lama lagi siasatan ini akan dapat disempurnakan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga merangkumi satu kes baharu yang melibatkan dakwaan terhadap seorang Speaker, selain lapan audio asal yang dikaitkan dengan beberapa ADUN di negeri berkenaan.

“Berdasarkan bahan yang telah diperoleh daripada rakaman tersebut, kita telah memanggil beberapa individu untuk diambil keterangan,” ujarnya.

Sebelum ini, Azam menjelaskan, SPRM akan menyiasat semua aduan melibatkan elemen rasuah atau salah guna kuasa, termasuk rakaman suara atau video yang tular, sekiranya wujud asas untuk siasatan lanjut.

Beliau meminta semua pihak untuk bersabar dan memberi ruang kepada SPRM melengkapkan siasatan sebelum perkembangan lanjut diumumkan.

“Kita akan kemas kini dari semasa ke semasa berhubung kes ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here