Logo halal Jakim

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengarahkan penarikan balik produk makanan yang dipersijilkan halal di Indonesia yang dikesan mengandungi DNA babi (porcine).

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajudin Suhaimee dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebagai langkah pencegahan awal, Jakim melaksanakan tindakan pemantauan segera bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh kepada produk-produk berkenaan jika dikesan berada di pasaran tempatan.

Menurut beliau, pihaknya turut mengarahkan pihak-pihak pengimport yang terlibat segera menghubungi Jakim melalui e-mel [email protected] dan mengambil tindakan penarikan balik produk terbabit dari pasaran Malaysia.

Sirajuddin Suhamimee

Jelasnya, langkah itu adalah sejajar dengan prinsip utama dalam pemeliharaan hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara dan diyakini.

“Justeru itu, Jakim menyeru orang ramai untuk turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sekiranya menjumpai produk-produk tersebut di pasaran.

“Aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM melalui pautan https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do.

“Jakim amat komited dalam memastikan produk yang benar-benar mematuhi piawaian halal dibenarkan berada di pasaran, demi memelihara hak dan kepentingan pengguna Muslim di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, menurut Sirajuddin, Jakim memandang serius pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia semalam berhubung penarikan balik produk makanan daripada pasaran Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi (porcine).

Jelas beliau, Jakim menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif pihak berkuasa Indonesia dalam menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan.

Ujarnya, berdasarkan siaran media rasmi BPJPH, hasil pemantauan bersama BPOM mendapati sebanyak 11 ‘batch’ daripada sembilan produk makanan telah dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal.

“Daripada jumlah tersebut, sembilan ‘batch’ daripada tujuh produk memiliki sijil halal, manakala dua ‘batch’ daripada dua produk tidak memiliki sijil halal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here