KEMALANGAN jalan raya terus menjadi isu yang membimbangkan di Malaysia.
Berdasarkan kajian, sebanyak 545,630 kes kemalangan jalan raya direkodkan pada tahun 2022, meningkat berbanding 418,237 kes pada tahun 2021.
Kajian terbaru oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati jumlah kemalangan semakin meningkat sejak 2012.
Kajian ini memberi gambaran jelas tentang punca utama kemalangan dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kejadian yang tidak diingini ini.
Kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan jalan raya ialah motosikal.
Pada tahun 2022 sahaja, sebanyak 4,379 kematian akibat kemalangan motosikal telah dicatatkan, merangkumi hampir 65 peratus daripada keseluruhan kes kematian jalan raya.
Walaupun jumlah kemalangan menurun ketika pandemik COVID-19 akibat sekatan pergerakan, angka ini kembali meningkat pada tahun 2022.
Selangor mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 157,000 kes, diikuti Johor (80,978 kes), Kuala Lumpur (59,332 kes), Pulau Pinang (38,334 kes) dan Perak (37,712 kes).
Perlis pula mencatat jumlah kemalangan yang paling rendah, iaitu sebanyak 3,174 kes sepanjang tahun.
Negeri yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan jaringan jalan raya yang sibuk lebih cenderung mengalami kemalangan.
Selangor dan Johor antara negeri yang mencatat kadar kemalangan yang tinggi berikutan jumlah pengguna jalan yang ramai serta kesesakan lalu lintas yang berterusan.
Baru-baru ini, media melaporkan kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di Pulau Pinang.
Namun, berdasarkan rekod sepanjang 10 tahun (2012–2022), jumlah kemalangan di negeri tersebut masih lebih rendah berbanding Selangor, Johor, dan Kuala Lumpur.
Antara punca utama kemalangan termasuklah memandu laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong secara berbahaya, dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Walaupun jumlah kemalangan meningkat, kadar kematian akibat kemalangan jalan raya menunjukkan kadar penurunan.
Data menunjukkan bahawa pada tahun 2022, sebanyak 6,080 kematian direkodkan, berbanding 6,284 kes pada tahun 2021.
Penurunan ini berkemungkinan hasil daripada pelaksanaan langkah keselamatan seperti penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, kempen kesedaran, serta penambahbaikan infrastruktur jalan raya yang dilaksanakan menerusi Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM).
Kejayaan inisiatif seperti pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan pelaksanaan had laju yang lebih ketat telah membantu dalam mengurangkan kemalangan maut.
Bagi mengurangkan kemalangan jalan raya, beberapa langkah pencegahan perlu diberi perhatian.
Pemandu perlu memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik sebelum memandu serta sentiasa mematuhi had laju dan peraturan jalan raya.
Penunggang motosikal pula digalakkan memakai peralatan keselamatan seperti jaket pantul cahaya dan topi keledar berkualiti tinggi.
Sistem kawalan kesesakan lalu lintas juga perlu lebih giat dilaksanakan bagi mengawal aliran trafik yang lebih baik sekali gus dapat mengurangkan kesesakan dan juga kemalangan.
Selain itu, kempen kesedaran perlu diperkasakan agar lebih ramai pengguna jalan raya lebih berwaspada dan bertanggungjawab ketika berada di jalan raya.
Peningkatan penggunaan teknologi seperti sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) dalam kenderaan juga boleh membantu mengurangkan risiko kemalangan.
Kajian ini telah membuktikan bahawa kemalangan jalan raya boleh dikurangkan melalui usaha bersama.
Dengan lebih banyak langkah pencegahan serta sokongan padu daripada kerajaan dan masyarakat, keselamatan di jalan raya boleh ditingkatkan dan lebih banyak nyawa boleh diselamatkan.
Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab semua pihak dan komitmen berterusan diperlukan untuk memastikan jalan raya di negara ini lebih selamat untuk semua.
MD YUSHALIFY MISRO
Penulis ialah Pensyarah, Pusat Pengajian Matematik,
Universiti Sains Malaysia (USM)