GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan bahawa sebahagian pelajar sekolah menjadikan tandas sebagai tempat untuk melepaskan ketagihan vape dan rokok.
Pegawai Pendidikan CAP merangkap aktivis anti rokok, NV. Subbarow berkata, perkara itu terbongkar menerusi program kesedaran mengenai bahaya vape dan rokok elektronik yang dijalankan oleh CAP baru-baru ini.
Jelas beliau, menerusi program tersebut, pihaknya mendapati ramai pelajar terjerumus ke dalam ketagihan produk tembakau dipanaskan (HTP) tanpa disedari.

“Walaupun pihak sekolah telah menguatkuasakan larangan membawa masuk vape atau rokok ke dalam kawasan sekolah, ramai pelajar didapati masih mencari jalan untuk menyeludup masuk bahan tersebut.
“CAP turut mendapati bahawa tandas sering dijadikan tempat rahsia pelajar untuk merokok atau menghisap vape, menyebabkan suasana pembelajaran terganggu dan memberi kesan negatif kepada tingkah laku mereka.
“Guru-guru juga melaporkan peningkatan masalah disiplin dan kesihatan dalam kalangan pelajar akibat ketagihan ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Subbarow, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi dan pihak berkaitan harus memastikan penjualan vape dihentikan sepenuhnya.
“Kita percaya masalah pelajar menghisap vape di sekolah dapat dikurangkan dengan lebih berkesan sekiranya penjualan vape dihentikan sepenuhnya.
“Selain itu, CAP kini menjalankan sesi kaunseling bagi membantu pelajar memahami bahaya penggunaan produk tembakau dan vape,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang pelajar tingkatan tiga diserang sawan selepas dipercayai menghisap vape dalam kejadian di sebuah sekolah di Kangar, Perlis.
Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, berdasarkan siasatan awal, pelajar itu didapati keluar kelas tanpa kebenaran sewaktu menjawab peperiksaan kertas Bahasa Inggeris bersama dua rakannya jam 9.30 pagi.
Katanya, guru yang mengambil tugasan mengawas di kelas itu kemudian melihat pelajar terbabit dipapah dua rakan masuk ke kelas dalam keadaan tanpa sedar dengan mulut berbuih. – MalaysiaGazette
















